SITI Zalina Ahmad menganggap kejayaan muncul juara kategori perseorangan Kejohanan Boling Padang Asia buat kali ke-10 di New Delhi, minggu lepas, sebagai satu ‘sejarah unik’ bagi dirinya.

Atlet berusia 38 tahun dari Perak itu melengkapkan kemenangan ke-10 pada edisi ke-12 kejohanan itu selepas menewaskan peserta Singapura, Shermeen Lim, 21-14 pada final  pada kejohanan enam hari yang berakhir Isnin lalu.

Pegawai polis itu seterusnya akan membuat persiapan rapi untuk penampilan kelima di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April tahun depan, dengan sasaran untuk meraih pingat, selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi Glasgow, Scotland pada 2014.

“Sebelum saya pergi, saya memang sasar nak menang buat kali ke-10, tetapi tak adalah apa-apa tekanan bagi saya, saya main dalam keadaan biasa. Cuma saya tahu bila saya menang, saya dapat buat sejarah macam ini, kerana bukan semua orang boleh mencapai kejayaan ini,” katanya kepada Bernama.

“Walaupun prestasi saya konsisten sejak beberapa bulan ini, saya masih perlu perbaiki apa-apa kelemahan yang tinggal untuk dapatkan prestasi yang lebih bagus  sebelum Komanwel kerana kita tahu pesaing di Komanwel bukan calang-calang orangnya, ada dari kalangan juara dunia, maka kita perlu bersedia dari segi permainan dan juga mental,” kata pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia) 2 selepas pulang dari New Delhi bersama skuad negara yang muncul juara keseluruhan kejohanan itu, selepas merangkul lima emas, satu perak dan dua gangsa, daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Zuraidi Puteh berkata kejayaan membanggakan itu adalah berkat latihan tanpa henti selepas kejayaan cemerlang muncul juara Sukan SEA pada Ogos lalu dengan menyapu tujuh daripada lapan pingat emas selain sebutir perak serta komitmen yang ditunjukkan oleh pemain.

Katanya, perancangan seterusnya adalah untuk menjemput negara-negara seperti Scotland, Afrika Selatan dan Wales untuk mengadakan kejohanan siri ujian empat negara.

Selepas itu akan kita menyediakan latihan kritikal untuk kecergasan atlet dan kita akan berkampung di Brisbane untuk bermula 19 Feb depan untuk adaptasi serta perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab di sana dan peserta-peserta Sukan Komanwel, katanya.

“Antara negara yang akan sampai awal di Gold Coast ialah kuasa utama seperti Scotland, New Zealand dan England. Untuk Sukan Komanwel, kita harapkan satu emas dan beberapa pingat daripada lima atlet lelaki dan lima atlet wanita yang akan menyertai lapan disiplin, kerana saingan sangat sengit,” katanya.

Zuraidi turut berharap dua wakil negara, Izzat Shameer Dzulkeple dan Emma Firyana Saroji, yang bakal beraksi di World Singles Champion of Champions di New South Wales, Australia bermula 30 Okt hingga 5 Nov ini pulang dengan kilauan pingat.

Lima pingat emas negara di New Delhi diperoleh menerusi Mohammad Soufi Rusli dalam kategori perseorangan lelaki, Siti Zalina (perseorangan wanita), Hizlee Rais dan Fairul Muin (pairs lelaki), Siti Zalina dan Auni Kamis (pairs wanita) serta gandingan Nabilah Tarmizi, Kamis, Zuraini Khalid, Azalina Arshad bagi acara fours wanita. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Pemain elit negara mempamerkan dominasi pada saingan 'step-ladder' Kejohanan Boling Kebangsaan ke-39 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini malam ini.
  • KUALA LUMPUR - Pemain pelapis negara, Muhd Rafiq Ismail muncul sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya melangkah ke pusingan kedua Masters Akhir pada Kejohanan Boling Remaja Dunia 2014 di Hong Kong.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.