$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (Inasoc) meminta Jawatankuasa Penyiasat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menangguhkan siasatan berhubung atletnya yang positif ujian 'anti-doping' bagi sample A dan B semasa beraksi di Sukan SEA Indonesia November lepas.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, permintaan itu dimaklumkan kepadanya menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini, dan KOM kini menghentikan siasatan yang bermula tiga hari lepas bagi mematuhi arahan Inasoc.
"Arahan penangguhan tersebut dipercayai dari keraguan MOM berhubung laporan Inasoc sama ada sample B itu dihantar ke makmal 'anti-doping' di Bangkok mengikut prosedur atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jawatankuasa penyiasat bebas itu dianggotai wakil beberapa pihak berkepentingan seperti MOM, Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Atlet Amatur Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).
Dua atlet negara Mohd Yunus Lasaleh dari sukan olahraga 4X400 meter lelaki dan Fidaus Abdul Razak dari acara angkat berat didapati positif ujian 'anti-doping'.
Inasoc pada 21 Disember lepas mengesahkan sampel A kedua-dua atlet adalah positif dan keputusan ujian sampel B yang diterima pada 15 Februari turut didapati mengandungi bahan terlarang.
Sementara itu, Shahidan berkata, atlet yang melanggar ketetapan membuat kenyataan kepada media akan berdepan tindakan seperti ditetapkan dalam perlembagaan KOM.
"Adalah lebih baik mereka memberi kenyataan tersebut beserta bukti kepada jawatankuasa penyiasat dan bukannya cuba menjadi hero sementara," katanya.
Beliau juga berkata hukuman terhadap atlet yang ingkar akan diputuskan jawatankuasa displin. - Bernama






