BAGI mengembalikan semangat ketika muda, sebuah kelab bola sepak dianggotai individu veteran ditubuhkan di Bera, Pahang.

Dinamakan sebagai pasukan Bera Veteran Boss, kumpulan ini dianggotai oleh lebih 30 individu berusia lebih 40 tahun.

Pengurusnya, Mohd Zaid Omar berkata, pasukan bola sepak ini ditubuhkan atas semangat setia kawan yang mahu kembali aktif dalam aktiviti sukan terutamanya bola sepak.

"Waktu dulu kami aktif bermain bola sepak. Jadi bagi mengembalikan kenangan itu selain beriadah, kelab bola sepak ini ditubuhkan.

"Walaupun kami tidak sehebat orang muda bersukan tetapi semangat kami untuk bersukan sama seperti orang muda," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain beraksi di Bera, mereka juga diundang ke beberapa negeri antaranya Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan untuk aksi persahabatan.

"Kami menetapkan sekurang-kurangnya sekali aksi persahabatan tidak kira di Bera atau di kawasan luar.

"Itu sahaja cara kami untuk mengukuhkan ikatan persahabatan selain mengadakan sesi latihan yang dijalankan setiap minggu," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, Bera Veteran Boss baru sahaja selesai mengadakan perlawanan persahabatan menentang UFC di Mini Stadium Institut Semarak Felda, malam tadi.

"Alhamdulillah, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1. Perlawanan yang cukupmemuaskan buat kami semua," katanya.

Selain itu katanya, Bera Veteran Boss juga terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan terutama membabitkan keluarga ahli pasukan dan masyarakat sekeliling.

"Kami bukan sahaja aktif bersukan tetapi kami juga akan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti bencana alam," katanya.