BARISAN baharu Exco Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) diakui mempunyai rekod yang cemerlang dan pastinya menjadi faktor mereka dipilih bagi penggal 2018-2022.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau mengakui ada ahli politik yang turut terpilih pada penggal baharu ini namun pencalonan dan pemilihan dilakukan sendiri oleh 36 badan gabungan persatuan tersebut.

Menurutnya, pemilihan tersebut memenuhi syarat dan undang-undang bola sepak di negara ini.

“Hari ini (semalam) adalah proses pemilihan dan bukan lantikan. Pilihan datangnya dari pencalonan ahli gabungan KFA, Memang benar yang dicalonkan itu ada ahli politik dan saya kira pertimbangan telah dibuat berdasarkan keupayaan mereka untuk terus melonjakkan bola Kedah selepas ini.

“Mereka yang dipilih melalui pemilihan telah menunjukkan rekod- rekod cemerlang sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Kongres KFA kali ke-43 di Wisma Darul Aman, semalam.

Mengulas perbelanjaan pasukan Kedah pada musim hadapan, Muhkriz berkata, pihaknya akan menilai semula perbelanjaan KFA yang telah mencecah RM30 juta bagi musim 2018.

Jelasnya, beliau mahu mengalihkan kebergantungan persatuan itu kepada kerajaan negeri dengan mencari lebih banyak pihak swasta untuk menaja Hijau Kuning.

“Tajaan satu topik yang besar untuk kita beri tumpuan. Saya tidak boleh umum apa-apa lagi namun akan usaha untuk dapatkan dari swasta.

“Kami seboleh mungkin mahu kurangkan dana dari kerajaan negeri tetapi kita kena yakinkan penaja bahawa cara kita belanja itu berhemah dan akan guna Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah sebagai saluran tajaan seperti dilakukan dulu,” katanya.

INFO

KFA 2018-2022

PRESIDEN:

Datuk Seri Mukhriz Mahathir

TIMBALAN PRESIDEN:

Abdul Rahman Abdullah

NAIB PRESIDEN:

1. Anas Hafiz Mustafa

2. Khamal Idris Ali

3. Yusuri Yusof

AHLI EKSEKUTIF:

1. Mohd Fuad Abdullah

2. Mohd Aizad Roslan

3. Shaharol Niza Omar

4. Rosmaini Ab Rased

5. Shaferi Rejab

6. Syed Khairol Anuar Sywd Abidin

7. Idzham Nordin

8. Jusri Anuar Jamarudin

9. Norzaihana Muhammad Zain