IPOH - Perbincangan mengenai hala tuju atlet Perak selepas berakhirnya temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 perlu dilaksanakan dalam usaha menentukan hala tuju mereka kelak.

Exco Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, perbincangan berkenaan juga akan  dibuat secara menyeluruh dengan melibatkan semua jenis sukan yang ditandingi atlet Perak pada temasya dwi tahunan berkenaan.

“Bagi saya, perbincangan ini akan melibatkan hala tuju yang lebih besar;  seperti program-program pembangunan untuk kita bawa atlet kita.

“Apakah akan bertanding pada Sukma akan datang? Sukan SEA? Atau Sukan Asia? Sudah tentu ini memerlukan perbincangan yang lebih besar,” katanya pada sidang media, petang tadi.

Sementara itu, Howard Lee berharap agar kesebelasan skuad bola sepak Sukma Perak dapat dikekalkan sebagai sebuah pasukan.

"Bagi atlet bola sepak contohnya, kita ada PKNP FC dan Perak. Tentu ada pemain yang nak bermain secara profesional, itu tertakluk kepada pilihan pemain.

“Setelah berjaya memenangi pingat emas, mereka perlu teruskan perjuangan sebagai satu pasukan, dan saya harap pasukan ini boleh dikekalkan.

“Tetapi, daripada segi hala tuju ia tertakluk kepada pilihan pemain itu sendiri. Tak ada masalah untuk pemain-pemain ini diserapkan ke PKNP FC atau pasukan Perak, The Bos Gaurus suatu hari nanti,” katanya.