SETIU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, di sini menerima prasarana sukan bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.
   
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung.
   
Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.
   
"Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.

Rozi berkata selain itu, bantuan biasiswa bulanan juga mula diagihkan kepada semua pelajar sejak Januari lepas iaitu antara RM50 dan RM60 sebulan mengikut kecemerlangan sama ada mereka pernah mewakili Sukan Malaysia atau sebaliknya.
   
"Ini adalah salah satu usaha kita bagi menghargai mereka yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang sukan seterusnya menjadi atlet negara yang bertaraf dunia," katanya.
   
Sementara itu, Rozi mencadangkan supaya pihak sekolah dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menentukan hala tuju pembangunan sukan yang melibatkan ibu bapa, Jabatan Pelajaran, pegawai Majlis Sukan Negara dan pentadbiran sekolah.
   
Katanya jawatankuasa itu berperanan bukan sahaja dalam mengekalkan prestasi sukan malah akademik pelajar ke arah melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi.
   
"Kita tidak mahu pelajar ini hanya tertumpu kepada kecemerlangan sukan semata-mata, kita mahu mereka itu juga mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya. - Bernama