SEKILAS pandang, 'arkitek’ yang menunjukkan jalan keluar kepada Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Aasia 2019, tidak lain tidak bukan adalah pengendali skuad Korea Utara, Jorn Andersen.

Kejayaan mengaibkan skuad Nelo Vingada dua kali berturut-turut dengan keputusan sama 4-1 di Buriram, Thailand, minggu lepas, adalah hasil perancangan rahsia jurulatih kelahiran Norway, yang kini mendapat status kerakyatan Jerman.

Ketua jurulatih itu berkata sistem unik yang diguna pakai dalam liga bola sepak tempatan di Korea Utara telah membolehkan beliau mempunyai banyak masa untuk melatih anak buahnya serta membentuk sebuah skuad kebangsaan yang disegani.

“Membimbing skuad kebangsaan adalah satu tugas khas...sama seperti melatih sebuah pasukan kelab. Saya mempunyai semua pemain kebangsaan lima hari seminggu.

“Pemain akan masuk ke kem latihan mulai hari Isnin hingga Jumat dan kembali semula ke kelab masing-masing pada hujung minggu,” katanya kepada Bernama di Buriram, baru-baru ini.

Bekas pemain kebangsaan Norway berusia 54 tahun itu berkata pemain kebangsaan Korea Utara hanya bermain satu perlawanan bersama kelab masing-masing pada hujung minggu dan kembali semula ke kem latihan.

“Kami membuat persediaan sepanjang masa. Pemain mengikuti  dua sesi latihan setiap hari,” katanya sambil menjelaskan kebanyakan anak buahnya bermain dalam liga tempatan kecuali empat pemain yang bermain dalam liga Eropah dan Jepun.

Penyerang utama skuad Korea Utara, Jong Iil-gwan dan Pak Kwang-ryong masing-masing beraksi dengan kelab Luzern pada Liga Super Switzerland dan SKN. St Polten pada Liga Austria.

Korea Utara, yang kini menduduki ranking ke-132 dunia, telah layak dua kali ke Piala Dunia pada 1966 dan 2010.

Andersen, yang menggalas cabaran membimbing skuad itu sejak tahun lepas, berkata kontrak bersama persatuan bola sepak negara komunis itu akan tamat selepas pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada Mac tahun depan.

“Selepas perlawanan akhir kumpulan menentang Hong Kong pada Mac 2018, kontrak saya akan tamat,” katanya.

Andersen, bekas penyerang skuad Norway dari 1985 hingga 1990 dan pengurus beberapa kelab Eropah, berkata walaupun pasukan negara itu mempunyai peluang cerah ke Piala Asia 2019, namun buat masa masa ini beliau tidak mempunyai hasrat untuk menyambung kontraknya.

“Saya sudah berada di Korea Utara selama dua tahun…mungkin tidak,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan menyambung kontraknya.

Menurutnya, beliau sudah menerima tawaran dan risikan daripada beberapa pihak untuk membimbing kelab liga di China, Jepun dan Eropah.

Mengenai kehidupannya di Pyongyang, Andersen berkata beliau berasa lebih selamat di ibu negara Korea Utara itu.

“Di Eropah anda perlu takut tentang keselamatan ketika keluar di jalanan tetapi di Pyongyang anda boleh keluar pada waktu malam tanpa rasa takut kerana keadaan amat selamat,” katanya.

Pada saingan Kumpulan B, Korea Utara kini menduduki tangga kedua di belakang Luban dengan lapan mata selepas lima perlawanan.

Selain membenam Malaysia 4-1 dalam dua perlawanan, Korea Utara kalah 5-0 dan seri 2-2 dengan Lubnan serta seri 1-1 dengan Hong Kong.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TINDAKAN jurulatih pasukan Sevilla mengumumkan beliau menghidap kanser pada penamat separuh masa pertama menyebabkan pasukannya bangkit menyumbat tiga gol semasa menentang Liverpool pada separuh masa kedua
  • DESAS - desus mengatakan bekas pengendali kelab gergasi Greece, Olympiakos FC, Paulo Jorge Gomes Bento bakal menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya hanyalah satu spekulasi.
  • PEMILIHAN jurulatih tempatan berkualiti seperti Tan Cheng Hoe diperlukan untuk membantu Ketua Jurulatih kebangsaan, Mario Gomez sekiranya pengendali kelahiran Argentina itu sah mengemudi Harimau Malaya.
  • ROMBAKAN besar-besaran akan dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bermula barisan kejurulatihan sehinggalah kepada pemain-pemainnya bagi memperkasakan pasukan musim hadapan.