TAN Sri Annuar Musa berkata, beliau sama sekali tidak pernah terfikir untuk menarik diri daripada pencalonan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menyatakan bahawa "ilham tarik diri belum datang", Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, sebaliknya banyak pihak mahu beliau meneruskan niat untuk bertanding jawatan itu.

Pada masa sama katanya beliau tidak mahu menjadikan pertandingan itu sebagai segala-galanya.    

"Saya lebih memikirkan soal kepentingan rakyat dan kemenangan kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14," katanya selepas menghadiri perasmian serentak Mesyuarat Cawangan Umno seluruh Kedah, di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Annuar gariskan tujuh pelan utama FAM, jika dipilih]    

Annuar berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau berhasrat menarik diri daripada pertandingan pada 25 Mac ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara beliau dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.    

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau juga tidak mahu berpolitik dan berkempen semata-mata untuk meraih undi sehingga mengeruhkan suasana kerana yakin kesemua anggota gabungan FAM tahu siapa yang layak menyandang jawatan itu.

"Apa yang penting bola sepak negara perlu diperbaiki, kalau saya menang pun tak apa, kalah pun tak apa, saya tetap boleh bantu," katanya.     

Mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan kewibawaan beliau untuk menerajui FAM, Annuar berkata beliau menerima dengan hati terbuka apa jua kritikan yang dilemparkan terhadapnya.     

"Saya wajar dipertikaikan... kalau saya jadi calon yang tiada orang pertikai maknanya saya sempurna. Orang berani mempertikaikan saya, saya pun terasa ingin mempertikaikan tapi kita jaga tertib dan jaga bahasa," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo memilih untuk berdiam diri ketika diminta mengulas keputusan satu mesyuarat khas FAM berhubung prestasi buruk pasukan kebangsaan ketika ini.
  • KELAB Penyokong Bola Sepak Kedah mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berterus terang dan mengeluarkan kenyataan sama ada Kedah boleh bermain dalam kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan atau tidak.
  • PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan dua kelab yang akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
  • STATUS Lesen dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membolehkan mereka beraksi pada Piala AFC 2018 masih menjadi tanda sehingga hari ini.
  • PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka bakal mewujudkan Liga Divisyen Empat sebagai usaha produktif dalam memacu perkembangan pemain muda di negara ini, lapor SHAFIQ TINO.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.