TIDAK berminat untuk berpura-pura menunjukkan muka di stadium bagi mendapatkan sokongan.

Itu jawapan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia  (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada beberapa pihak yang mempertikaikan ketidakhadirannya di stadium untuk memberi sokongan pada skuad kebangsaan di Sukan Sea 2017.

Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata,  beliau tidak memerlukan sokongan kerana bukan seorang ahli politik.

“Anda mungkin terlupa sumbangan saya kepada FAM sewaktu FAM, liga dan pasukan lain tidak berduit. Bukan mahu mengungkit tetapi ini satu kenyataan.

“Baru-baru ini juga, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan RM4 juta kepada FAM untuk membantu struktur skuad kebangsaan dan liga tempatan. Insentif kepada skuad kebangsaan B-22 juga diberikan apabila mereka berjaya layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

TMJ berkata, beliau juga berjumpa dengan pihak Astro bagi mendapatkan penajaan untuk semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Wahai Melayu bangsaku, walaupun terdesak sangat untuk menjatuhkan orang, tidak perlu untuk membandingkan saya dengan sesetengah individu yang hanya tunjukkan muka di stadium untuk berikan sokongan tetapi tidak menghulurkan satu sen pun untuk membantu bola sepak tanah air.

“Tidak perlu ke stadium hanya untuk kepentingan politik. Mana pergi individu ini dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila FAM atau bola sepak Malaysia susah dan memerlukan bantuan kewangan?.

“Bagaimanapun, saya tidak salahkan pihak KBS yang tidak berikan duit kepada FAM. Maklumlah, isu duit berjumlah RM100 juta duit rakyat pun tidak dijawab lagi macam mana mereka hendak bagi duit kepada kami,” katanya.

Justeru katanya, sebelum mahu mempertikaikan dan menghukum sesiapa, fikir dulu dan usah memalukan bangsa Melayu dengan sikap busuk hati.

Katanya, daripada pengalaman beliau, jika dibandingkan dengan bangsa India atau Cina, kebanyakannya bangsa Melayu sahaja yang menghina raja mereka setiap hari, tetapi apabila susah dan tersepit, barulah bangsa Melayu ini mencari raja mereka.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KESEMUA pasukan bola sepak kebangsaan melibatkan skuad Harimau Malaya, B-23, B-19 dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) bakal mengadaptasi corak permainan dan falsafah yang sama dalam masa terdekat.
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat pemain yang 'besar kepala' dalam skuad kebangsaan, sehingga menjejaskan prestasi pasukan negara.
  • PRESIDEN Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan setiap usaha dan sumbangan ke arah pembangunan bola sepak negara perlu diteruskan meskipun beliau tidak lagi menyandang jawatan itu pada masa depan.
  • BEKAS pemain negara, Khalid Ali melabelkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai caca marba selepas tindakan badan induk itu gagal menyelesaikan isu pasukan yang layak bermain di Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim depan.
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan tunduk dengan desakan penyokong dan sesetengah pihak yang mahu beliau meletakkan jawatan dalam badan induk bola sepak itu.