PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah hanya ketinggalan empat mata untuk meraih gelaran ‘rookie’ (pelumba baru) terbaik 2018 selepas menamatkan saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Valencia di tempat kesepuluh.

Secara keseluruhan kedudukan ‘rookies 2018’ menyaksikan pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu mengumpul 46 mata di kedudukan kedua di belakang juara Franco Morbidelli daripada EG 0,0 Marc VDS dengan kutipan 50 mata selepas 19 perlumbaan tahun ini.

“Banyak yang saya belajar. Akhirnya, saya hanya empat mata di belakang rookie terbaik, Franco Morbidelli. Tahniah kepada beliau. Saya telah lakukan yang terbaik. Saya nak ucapkan terima kasih kepada penaja kami, keluarga dan para peminat yang menyokong saya.

“Saya gembira berlumba di Moto GP. Minggu hadapan kami mulakan perjalanan baru dan saya akan terus bekerja keras. Terima kasih semua.” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Monster Yamaha Tech 3 di sini hari ini.

Pada perlumbaan di Litar Valencia, Sepanyol semalam, Hafizh Syahrin bermula dari petak ke-21 mempamerkan tunggangan cemerlang sehingga tempat ke-10 sebelum perlumbaan dihentikan susulan litar yang basah sehingga menyebabkan beberapa pelumba terbabas.

Pada perlumbaan kedua yang menyaksikan saingan 15 pelumba, Hafizh Syahrin bermula pada petak ke-10 mengekalkan rentak tunggangan diposisi yang sama sehingga tamat perlumbaan dengan catatan masa 24:40.606s meraih enam mata dalam perlumbaan itu.

Perlumbaan itu dimenangi Andrea Dovizionso dari pasukan Ducati, dengan catatan masa terpantas 24 minit 03.408 saat menewaskan Alex Rins dari Suzuki Ecstar 24:06.158s di tempat kedua dan Pol Espargaro dari Red Bull KTM Factory Racing melengkapkan podium dengan catatan masa 24:10.814s.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya. Kami tidak menjangkakan akan dapat mencapai kedudukan 10 terbaik dalam litar basah. Banyak perkara berlaku, ramai penunggang jatuh. Kita berhenti berlumba dan saya pada kedudukan ke-10. Saya percaya kami boleh memberikan saingan kepada pelumba lain. Untuk saya, inilah perlumbaan pertama dalam keadaan litar basah yang saya dapat bersaingan hingga tamat perlumbaan,” katanya.

Secara keseluruhan Hafizh Syahrin menamatkan saingan musim pertamanya dalam kelas MotoGP pada kedudukan ke-16 dunia dengan 46 mata. Juara dunia milik Marc Marquez dari Sepanyol dengan 321 mata diikuti Andrea Dovizioso dari Itali di kedudukan kedua (245 mata) dan Valentino Rossi dari Itali di tempat ketiga dengan 198 mata. - Bernama