PENGENDALI Kelantan, Sathit Bensoh gembira melihat peningkatan dipamerkan barisan pemainnya selepas menjalani latihan pramusim, sejak hujung November tahun lalu.

Sathit berkata, prestasi skuad kendaliannya agak baik walaupun sekadar mencatatkan dua keputusan seri termasuk terbaru 0-0 ketika bertemu pendatang baru Liga Super, PKNP FC di Kota Bharu, malam kelmarin.

“Selepas aksi persahabatan menentang TFC II (Terengganu FC II), kami cuba terapkan percaturan taktikal dari segi menyerang serta bertahan dan malam ini (kelmarin), mereka tunjuk banyak perubahan dalam dua elemen itu.  

“Bagi saya, walaupun seri tapi OK, saya percaya pemain juga mahukan kemenangan tetapi ini bola sepak. Kami bekerja keras tapi akhirnya perlu hormati keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu, malam kelmarin.

Pada masa sama, jurulatih kelahiran Thailand itu mengakui, dia belum berpuas hati dengan posisi tertentu termasuk benteng pertahanan yang dianggap masih bergelut untuk membentuk gandingan mantap.

“Satu-satunya kelemahan Kelantan adalah ketika hilang penguasaan bola. Kami membiarkan lawan mencipta peluang dan saya kena fikir bagaimana nak atasi masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Mengulas prestasi Bruno Lopes, pengendali berusia 42 tahun itu memberitahu, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan penyerang import Brazil, apatah lagi dia baru menyertai skuad pantai timur itu.

“Lopes baru empat hari berlatih. Jadi saya beri dia peluang bermain untuk sesuaikan diri dengan persekitaran pasukan dan lebih adil dia diberi masa buktikan sentuhannya,” katanya.

Mengenai kegusaran penyokong terhadap persembahan buruk Cassio de Jesus, dia mempertahankan dan menjelaskan pertahanan import Brazil itu tunjuk semangat juang dan kerja keras di padang.

“Semua orang buat kesilapan dalam perlawanan dan tugas kami memperbetulkannya dalam latihan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JURULATIH Kelantan, Sathit Bensoh menegaskan skuad kendaliannya sudah memiliki barisan pemain lebih daripada cukup untuk menggalas cabaran mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
  • PEMANGKU ketua jurulatih, Sathit Bensoh dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Kelantan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
  • PENOLONG Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh mengakui barisan pemainnya beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar ketika tewas 0-2 kepada Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.