FELDA United  akan mendapatkan pemain  import baharu ekoran persembahan hambar yang menyaksikan mereka dihukum kelab daripada Singapura, Tampines Rovers dengan kekalahan 1-3  pada saingan Kumpulan G, Piala AFC kelmarin.

Ketua Jurulatihnya, B Sathianathan berkata, tindakan tersebut bakal diambil ketika jendela perpindahan pemain yang dijadualkan antara 15 Mei hingga 11 Jun depan tamat.

“Kita lihat pemain import yang ada kini tidak beraksi baik dalam perlawanan menentang Tampines Rovers malam ini (kelmarin).

“Malah pemain tempatan kita mempamerkan permainan yang lebih menyerlah dan berkualiti berbanding mereka.

“Dengan itu saya mengambil keputusan untuk mendapatkan tiga pemain import baharu pada musim perpindahan nanti untuk menguatkan Felda United,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sathianathan berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak pengurusan dan pengambilan itu tidak semestinya memerlukan kos besar bagi mendapatkan pemain import yang baik.

Mengenai perlawanan itu, beliau berkata, pasukan lawan menunjukkan aksi lebih bertenaga, agresif dan tangkas berbanding anak buahnya.

Sementara itu, Pengendali Tampines Rovers, Jurgen Raab pula berkata, skuad bimbingannya turun beraksi dengan begitu baik walaupun menghadapi tekanan untuk mencatat kemenangan.

“Pemain kami berhak ke atas kemenangan ini kerana mereka telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.

“Mereka juga memberi reaksi yang baik terhadap perlawanan ini untuk mencipta jaringan menerusi peluang yang diperoleh.

“Oleh itu saya amat gembira dan ia juga menghidupkan kembali peluang kami untuk meneruskan kemaraan pada kejohanan ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI Felda United, B Sathianathan menganggap pasukannya memang berhak menang untuk meraih tiga mata penuh ke atas Kedah menerusi kemenangan 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.
  • PENGENDALI Felda United, B Sathianathan akui kekalahan 1-3 skuadnya kepada PKNP FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak (Star) kelmarin berpunca daripada kelemahan pemain.
  • KERISAUAN dizahirkan Pengendali Felda United, B Sathianathan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang PKNP FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.
  • KETUA Jurulatih Felda United, B Sathianathan menggesa anak buahnya mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia bertemu Perak hujung minggu ini.
  • JURULATIH Kelantan, Zahasmi Ismail menganggap satu mata diraih ketika mengikat Felda United FC 1-1 pada aksi Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin sangat bermakna buat pasukannya untuk keluar dari zon penyingkiran musim ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.