LELAKI besi Ukraine, Daniil Sapunov, dinobatkan juara kategori profesional lelaki  Ironman Langkawi 2018, sekaligus menyebabkan juara bertahan Roman Guillaume kempunan untuk mengulangi kejayaannya tahun lalu

Menambah kemanisan menikmati saat menjadi juara tahun ini, atlet berusia 36 tahun ini berkata, ia percubaan pertamanya menyertai kejohanan di pulau itu yang telah menyajikan cabaran yang agak luar biasa baginya.

“Walaupun laluan perlumbaan agak berbukit dan ditambah lagi dengan keadaan cuaca panas, saya masih berupaya untuk mengharungi cabaran ini dengan baik,” katanya kepada pemberita di akhir perlumbaan itu.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir  menyampaikan pingat kemenangan kepada Sapunov dalam satu majlis ringkas di akhir cabaran itu.

Supanov telah dicatatkan melengkapi ketiga-tiga disiplin perlumbaan itu - berenang, berbasikal dan berlari dalam tempoh masa lapan jam, 33 minit dan 36 saat, sekaligus merangkul AS$5,000 (kira-kira RM20,939) yang ditawarkan untuk johan.

Tempat kedua kategori itu yang menawarkan AS$2,750 (RM11,516) dimenangi atlet Jepun, Kaito Tohara yang mencatatkan masa lapan jam 55 minit 13 saat dan atlet Switzerland, Urs Muller di tempat ketiga dengan masa sembilan jam sembilan minit 11 saat untuk membawa pulang AS$1,750 (RM7,328).

Sementara itu, dalam kategori profesional wanita pemenang tempat kedua tahun lalu, Mareen Hufe, 40, dari Jerman berjaya menjuarai kejohanan tersebut dengan catatan masa sembilan jam 25 minit 21 saat. 

"Saya tidak sangka berjaya menjadi juara dan benar kata pepatah Jerman "Alle guten, Dinge sind drei" iaitu kejayaan datang dalam percubaan kali ketiga," katanya.

Tempat kedua dimenangi atlet Czech Republik, Simona Krivankova, 35, dengan catatan masa sembilan jam 55 minit 35 saat.  

Manakala atlet dari Itali, Federica De Nicola, 25, di tempat ketiga dengan catatan masa sembilan jam 57 minit 28 saat.

Tiga pemenang wanita itu masing-masing menerima hadiah wang tunai mengikut jumlah serupa diberikan kepada pemenang lelaki.

Kejohanan yang membabitkan disiplin berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km dan berlari sejauh 42.2 km itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$25,000 (RM104,640) dan 50 peserta terbaik kejohanan layak bertanding pada Kejohanan Ironman Dunia di Kona, Hawaii, tahun depan. - Bernama