ALOR SETAR - Pemain import berpengaruh Kedah, Sandro Da Silva bersedia untuk bersama pasukan tersebut satu musim lagi jika mendapat lanjutan kontrak bagi musim 2019.

Pemain Brazil berusia 34 tahun itu berkata, beliau akui gembira berada di negeri tersebut sejak tahun 2015 dan percaya masih banyak lagi yang boleh disumbangkan kepada Lang Merah jika diberi peluang pada musim hadapan.

Menurutnya, beliau juga akui mahu terus bersama Lang Merah dan tidak terfikir untuk menyertai mana-mana pasukan lain berikutan kontraknya bakal berakhir pada musim ini

"Saya tidak kata yang saya mahu meninggalkan Kedah selepas kontrak saya akan tamat hujung musim ini. Setakat ini pihak pengurusan belum berbincang tentang perancangan musim 2019.

"Hati saya di sini dan fokus memang bersama pasukan Kedah yang saya curahkan bakti sejak musim 2015," katanya kepada media selepas pelancaran produk haruman 'SM by Sandro & Michele' di  Ballroom, TH Convention Hotel, Alor Setar, semalam.

Sandro kini dalam persiapan bersama Lang Merah menghadapi perlawanan akhir Kumpulan C Piala Malaysia 2018 bertemu Kelantan di Kota Bharu pada 16 September ini.