KERAJAAN  Terengganu mengumumkan ganjaran RM200,000 kepada jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang di atas kejayaannya selepas muncul juara dunia dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran itu adalah skim insentif disediakan kerajaan negeri kepada mana-mana atlet kelahiran Terengganu yang bukan sahaja mengharumkan nama negara bahkan juga negeri di persada antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan yang dilakarkan The Pocket Rocketman  itu satu lagi sejarah yang dicipta atlet kelahiran Terengganu dalam sukan lumba basikal sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Insentif yang disediakan RM200,000 itu melibatkan wang tunai RM100,000 dan sebahagiannya lagi skim pembiayaan latihan kepada Azizulhasni sama ada dalam dan luar negara.

“Bagi skim latihan itu ia terserah kepada Azizulhasni sendiri untuk mengemukakan program latihan yang bakal disertainya nanti kepada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut mengumumkan insentif RM2,000 kepada mana-mana atlet Terengganu yang tersenarai bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

“Selain itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan terus memantau keperluan lain dari masa ke masa bagi memastikan atlet negeri ini mampu melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang sebagaimana dibuktikan Azizulhasni Awang.

“Malah kita juga akan terus memperhebatkan lagi pembangunan sukan teras di Terengganu dan ianya bukan sahaja tertumpu kepada sukan lumba basikal bahkan juga sukan lain seperti kuda lasak (endurance), hoki dan bola sepak yang dilihat menjadi kekuatan kepada negeri selaku pengeluar atlet negara,” katanya.

Bina velodrom

Sementara itu, Ahmad Razif turut memaklumkan bahawa pembinaan mini velodrom berbasikal bertaraf  antarabangsa  di Balai Besar, Dungun bakal dimulakan dengan peruntukan RM10 juta.

Katanya, pada tahun ini kerajaan negeri menerima peruntukan permulaan RM1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja awal dan dijangka akan bermula dalam masa terdekat.

“Selain itu kerajaan negeri juga sudah bersetuju untuk membina kemudahan asrama buat atlet Terengganu di Gong Badak bermula tahun ini yang berfungsi sebagai pusat persediaan atlet untuk menyertai satu-satu kejohanan besar termasuklah temasya Sukan Malaysia (Sukma) nanti.

“Insya-ALLAH kita jangkakan ia akan bermula dalam masa terdekat dan kini kita sudah berada di peringkat untuk memilih kontraktor yang berkaliber bagi menjayakan perkampungan sukan atlet Terengganu ini,” katanya.

Azizulhasni terharu sambutan

Manakala Azizulhasni mengakui terharu dengan sambutan dan ganjaran yang diberikan kerajaan negeri di atas kejayaannya melakar sejarah baharu dalam sukan berbasikal negara dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu (Ahmad Razif) dan kerajaan negeri.

Katanya, apa yang dilakarkannya di persada dunia itu bukannya untuk mengharapkan ganjaran sebaliknya mengejar impian untuk menjadi pelumba terbaik dunia.

“Sememangnya saya tidak sangka dengan sambutan dan ganjaran  insentif  diberikan kerajaan negeri kepada saya pada hari ini (semalam) dan diharap mampu menjadi dorongan buat atlet lain untuk terus bekerja keras dalam mengapai kejayaan cemerlang.

“Malah saya juga turut mengharapkan supaya golongan muda di luar sana dapat turut sama berkecimpung dalam bidang sukan sekali gus mampu membendung mereka daripada terjerumus dalam gejala sosial,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IMPIAN 'The Pocket Rocket Man' - juara lumba basikal dunia acara keirin, Mohd Azizulhasni Awang untuk meraih emas acara itu pada Sukan Asia 2018 mungkin berkecai apabila penganjur temasya dilaporkan mahu menggugurkan acara berkenaan.
  • PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu juara Keirin Dunia, Azizulhasni Awang menjadi role model (contoh ikutan) rakyat Malaysia khususnya golongan muda dalam bidang sukan.
  • WALAUPUN sudah bergelar juara dunia, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizuhasni Awang tetap tidak mahu 'bersenang-lenang' sambil menikmati kejayaannya meraih pingat emas acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong, baru-baru ini.
  • JAGUH trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang diberi penghargaan mencuba Velodrom Nasional dan trek berbasikal BMX di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu depan sebelum venue itu digunakan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Para Asean.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.