BEKAS juara snuker Asia, Sam Chong dinamakan sebagai pemenang anugerah "Kemunculan Semula Atlet Terbaik 2011" SAM-100PLUS-KBS oleh Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), demikian diumumkan oleh persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

Atlet berusia 49 tahun itu telah membuat kemunculan semula dalam arena snuker antarabangsa selepas menyepikan diri selama sembilan tahun, dan berjaya
mencatatkan kejayaan cemerlang apabila memenangi pingat emas beregu lelaki pada Sukan SEA Indonesia tahun lalu.

Chong, yang merupakan jurulatih pasukan snuker Malaysia pada Sukan SEA Laos pada 2009, bergandingan dengan anak didiknya dan pemain snuker nombor satu
negara Thor Chuan Leong dalam acara itu.

Semasa kemuncak kerjayanya, Chong pernah menduduki ranking 100 ke bawah dalam sirkit profesional Persatuan Snuker Dunia dan menjadi atlet snuker
Malaysia yang pertama muncul juara Asia pada 1990.

"Sam Chong akan menerima anugerah itu pada majlis penyampaian anugerah tahunan "Atlet Terbaik" (2011)" yang dijadual diadakan di sebuah hotel terkemuka
di Petaling Jaya pada Ahad," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, acara kemuncak pada majlis anugerah itu ialah anugerah "Atlet Terbaik" SAM-100PLUS-KBS di mana 11 calon telah disenarai pendek
dan undian akan dilakukan oleh anggota SAM untuk memilih atlet terbaik.

"SAM akan menyenarai pendek lima calon, yang masing-masing akan menerima insentif RM1,000 manakala pemenang akan membawa pulang RM10,000 dan Trofi
Kristal.

"Calon-calonnya ialah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun), Fatehah Mustafa, Jupha Somnet (berbasikal),
Nur Suryani Taibi (menembak), Jacqueline Jenelee, Adrian Ang (boling), Aaliyah Yoong (luncur air), Kevan Cheah (wushu) dan pasukan recurve lelaki (memanah),"
menurut kenyataan itu. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.