SELAKU penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Mohamed Salah sudah pasti menjadi harapan kepada Liverpool menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Kiev, Ukraine, awal pagi Ahad ini.

Namun, Salah yang meledak 44 gol untuk The Reds tidak mahu tanggungjawab yang bakal dipikul itu nanti memakan dirinya sendiri namun berjanji untuk memberikan persembahan terbaik ketika turun beraksi di pentas itu.

"Saya tak miliki pengalaman bermain di Liga Juara-Juara sebelum ini, tapi saya tahu posisi sebagai penyerang sudah pasti perlu memainkan watak penting kepada pasukan.

“Tetapi, saya tidak mahu menjadikan situasi ini sebagai tekanan kepada diri sendiri sehingga akan menjejaskan prestasi saya.

"Lagipun untuk memenangi perlawanan, anda tidak boleh terlalu tertekan sebaliknya perlu menikmati perlawanan dan memberikan yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Mengulas pertemuan dengan Real, Salah yakin rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berdepan skuad bimbingan Zinedine Zidane itu.

"Kami menjangkakan lawan akan beraksi dengan agresif kerana mereka mempunyai jentera serangan yang amat pantas, tetapi tiada mustahil untuk Liverpool menghentikan mereka.

"Apa pun, saya menjangkakan ia perlawanan yang amat sukar untuk kami tetapi peluang untuk menang tetap ada," tambahnya.