PEREBUTAN bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kemungkinan bakal menyaksikan pertembungan ‘empat penjuru’ untuk merebut ‘kerusi panas’ pada kongres pemilihan kali ke-63 persatuan itu, 17 September ini.

Selepas bekas Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan menarik diri, tumpuan kini terarah kepada perebutan di antara empat calon iaitu dua Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail, Pengarah Urusan Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan serta ahli perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Jumlah pencalonan bagi keempat-empat calon berkenaan tidak didedahkan namun berdasarkan perlembagaan persatuan itu, satu pencalonan diterima sudah memadai buat mereka untuk bertanding, pada pemilihan empat kali setahun itu.  

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, pencalonan bagi kesemua jawatan tertinggi termasuk ahli eksekutif badan induk itu diperoleh sebaik sahaja tempoh pencalonan berakhir 5 petang, Ahad lalu.

“Bagi jawatan timbalan presiden, seramai empat orang dicalonkan manakala kuota tiga naib presiden tampak sengit dengan pencalonan 13 individu terdiri dalam kalangan tokoh korporat, ahli politik, pegawai tadbir dan sebagainya.

“Begitu juga perebutan jawatan ahli eksekutif Kafa turut menyaksikan 30 orang dicalonkan untuk mengisi kekosongan 10 kerusi tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Menurutnya lagi, kesemua individu yang dicalonkan perlu menandatangani borang pengesahan penerimaan pencalonan sebelum jam 5 petang, pada 14 September ini.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pihak Sekretariat Kafa menganggap calon tidak berminat dan pencalonan mereka secara automatik ditolak.

“Bagi calon yang telah membuat pengesahan, mereka boleh menarik diri daripada bertanding tetapi sebelum tarikh berkenaan berakhir,” katanya.

Kongres Kafa bagi memilih barisan kepimpinan baru untuk penggal 2017-2021 boleh dianggap paling sengit dalam sejarah berdasarkan senario semasa dengan ketiga-tiga jawatan tertinggi persatuan itu dipertandingkan.

Kafa mempunyai 10 ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang diwakili lima perwakilan dan dua wakil daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 52 undi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menolak kemungkinan mencari jurulatih baharu sekiranya Sathit Bensoh gagal melakukan perubahan terhadap prestasi Kelantan, pada perlawanan Liga Super akan datang.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) belum berpuas hati dengan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) walaupun saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 bakal membuka tirai, awal bulan depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia untuk meminjamkan enam pemainnya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, sebagai langkah mengurangkan kos pembelanjaan persatuan itu musim ini.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengikat Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes bagi tempoh setahun sekali gus melengkapkan kuota pemain import skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
  • BEKAS pemain antarabangsa Indonesia, Ferdinand Sinaga menjadi buruan terbaharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk memperkuatkan Kelantan, pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.