KEJAYAAN Rusia yang yang menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Mesir 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan A, kempen Piala Dunia awal pagi tadi bukanlah atas faktor nasib semata-mata.

Sebaliknya, pengendali Rusia, Stanislav Cherchesov menganggap pasukannya berhak mendapat pujian di atas pencapaian itu kerana beraksi dengan baik dalam dua perlawanan sebelum ini.

Kemenangan ke atas Mesir membolehkan Russia mengutip enam mata untuk berada di tangga teratas Kumpulan A selepas membelasah Arab Sausi 5-0 pada aksi pembukaan Sabtu lalu.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan skuad Sbornaya melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah.

"Ini bukan nasib, kami bermain dengan penuh keyakinan untuk meraih kemenangan.

"Lagipun, kami ambil pengajaran daripada kesilapan lalu yang membuatkan Rusia tidak cemerlang edisi lalu.

"Syukur kami berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut dan yang penting kejayaan ini menggembirakan semua orang," katanya.

Rusia mendahului perlawanan menerusi gol sendiri pasukan lawan pada minit ke-37 melalui Ahmed Fathi.

Denis Cheryshev menambah gol Rusia pada minit ke-59 sebelum gol ketiga disempurnakan Artem Dzyuba pada minit ke-62.

Gol tunggal Mesir dijaringkan oleh Salah menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 tetapi kesan kecederaan menyekat pemain itu membawa impak pada aksi itu.

"Saya berpuas hati dengan penampilan yang ditunjukkan pemain, mereka bersemangat dan penuh berdisiplin di atas padang," tambahnya.

Rusia akan turun menentang Uruguay pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Isnin ini.