RAJA Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah menegaskan kongres luar biasa (EGM) yang kononnya diadakan malam tadi oleh puak 'berhaluan kiri' sebagai tidak sah.

Menerusi satu kenyataan, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu menganggap kongres tersebut hanyalah satu 'perjumpaan' biasa selain tidak mengiktirafnya kerana ia membelakangi baginda selaku pemegang jawatan nombor satu persatuan.

"Beta dimaklumkan telah terdapatnya sebuah perjumpaan yang kononnya kongres luar biasa yang diadakan pada 8 November 2018 jam 8.00 malam di Nouvelle Hotel, Seri Kembangan untuk memilih Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor yang baharu untuk penggal 2017-2021.

"Di dalam ‘perjumpaan’ tersebut, Beta telah kononnya dipilih sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ tersebut tanpa persetujuan daripada Beta.

"Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa ‘perjumpaan’ tersebut tidak sah, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh Beta dan juga persatuan. FAS telahpun mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak isu ini timbul dan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ ini tidak sah telah pun kami berikan," katanya.

Jelasnya, EGM tersebut tidak sah kerana tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut badan induk itu selain turut menolak 'lantikan semula' jawatankuasa eksekutif tersebut.

"Pendirian Beta mengenai kesahihan ‘perjumpaan’ yang kononnya telah diadakan tersebut adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS.

"Mereka juga gagal untuk memberi sebarang bukti kepada PSM dan FAM untuk menunjukkan mereka mempunyai korum yang secukupnya untuk mengadakan kongres apabila telah diminta untuk berbuat demikian. Kumpulan tersebut juga gagal untuk mendapat korum yang secukupnya semasa kononnya ‘perjumpaan’ kongres tersebut diadakan pada 8 November 2018.

"Dengan demikian Beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang telah diadakan pada perjumpaan yang kononnya ‘kongres’ tersebut diadakan pada 8 November 2018, termasuk kononnya ahli jawatankuasa FAS yang baharu dilantik," katanya lagi.

Terdahulu, seramai 52 ahli gabungan FAS bersetuju untuk mengadakan EGM  selepas mendakwa hak dan kepentingan ahli gabungan ditindas dan diketepikan termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

Dalam EGM tersebut, hanya tiga muka lama dikekalkan dan selebihnya dibarisi muka-muka baharu termasuk bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang dilantik sebagai Timbalan Presiden FAS.