KIRA-KIRA 5,000 peminat bola sepak menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang ditayangkan melalui skrin gergasi di Dataran Merdeka, di sini malam ini bersama beberapa pemimpin negara.

Pemimpin negara yang hadir antaranya ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,  Menteri Wilayah Khalid Abd Samad dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Pada aksi final di Stadium Luzhniki, Moscow itu, juara edisi 1998, Perancis bertemu Croatia yang mara ke final buat kali pertama.

Syed Saddiq menyatakan kegembiraan melihat rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, terutamanya anak-anak muda hadir menyaksikan tayangan itu bersama keluarga.

“Ini membuktikan bahawa sukan ini berjaya menyatupadukan semua. Perkara ini patut dijadikan teras utama sukan di sebalik menang trofi kerana ia merupakan ejen penyatuan yang kukuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya berkata tayangan menerusi skrin led bersaiz 100x50 kaki (30.48x15.24 meter) itu malam ini merupakan tayangan skrin led terbesar di Malaysia.

Turut hadir ialah duta dan pegawai dari kedutaan Perancis dan Croatia.

Sementara itu, di KUALA PILAH, kira-kira 500 belia hadir Fiesta World Cup Belia Parlimen Kuala Pilah yang berlangsung di perkarangan pejabat Ahli Parlimen Kuala Pilah malam ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith. -Bernama