PEMBEBASAN enam pemain negara bulan lalu daripada tuduhan gagal menjalani ujian doping seperti membawa semangat juang baharu buat mereka sehingga bergelar juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Telecom of Thailand (TOT) 2017, Ahad lalu.

Keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) itu turut menamatkan penggantungan sementara mereka daripada kejohanan antarabangsa kerana kes masih berjalan sejak insiden Piala Raja Thailand ke-31 di Bangkok, Oktober lalu.

Malah, enam regu negara menguasai lapan tempat teratas kejohanan di Universiti Rajabhat, Hat Yai itu dengan gelaran menjadi milik Malaysia A yang menampilkan tekong Syahir Rosdi, perejam Khairol Zaman Hamir Akhbar dan pengumpan Azwan Muhrim.

Malaysia A menumpaskan Anunthongthai 25-24, 21-17, manakala Malaysia H (Izurin Refin, Wan Anas Muhaimin Wan Asri dan Zuleffendi Sumari) dan B (Meor Zulfikar Mat Amin, Afifuddin Razali dan Safarudin Abu Bakar) muncul pemenang ketiga bersama.

Terdahulu, langkah Malaysia B disekat oleh  Anunthongthai 17-21, 19-21 dalam separuh akhir, sementara Malaysia H memberikan kemenangan percuma kepada Malaysia A.

Pada suku akhir, Syahir yang diumumkan Pemain Terbaik Terbuka TOT, mengemudi regunya untuk menundukkan Malaysia F (Nazmi Najib/Idham Sulaiman, Hafizul Hayazi Adnan dan Aidil Aiman Azwawi) 21-16, 21-11.

Malaysia G (Sahidan Md Ali, Kamal Ishak dan Suhairi Sulaiman/Syazreenqamar Salehan) pula gagal menunjukkan prestasi konsisten apabila tunduk kepada Anunthongthai 21-15, 9-21 dan 8-15 dalam satu lagi suku akhir.

Skuad negara menjadikan Piala TOT ini medan pemilihan dan pembentukan regu apabila bulan ini mereka akan memulakan  fasa ketiga Program Kita Juara sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Temasya serantau dwitahunan itu kali ini akan menawarkan lima pingat emas (lelaki) iaitu regu berpasukan, antara regu, beregu, beregu berpasukan dan kuadran dengan tuan rumah bebas menyertai kesemuanya sementara negara lain, dihadkan tiga acara sahaja.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUA pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo-Yap Cheng Men beraksi cemerlang apabila mara ke pusingan suku akhir Grand Prix Emas Terbuka India selepas melepasi pusingan kedua, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.