Chong Wei ketuai kem negara ke Wuhan, bulan depan.
Chong Wei ketuai kem negara ke Wuhan, bulan depan.

BIARPUN tidak dibarisi skuad terbaik dan harapan untuk muncul juara pada Kejohanan Piala Thomas amat tipis, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diingatkan agar memandang serius aksi kelayakan Piala Thomas dan piala Uber yang bakal berlangsung di Macau, minggu depan.

Timbalan Menteri, Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, sokongan perlu diteruskan tanpa memberi tekanan kepada skuad negara selain tidak membuat perbandingan antara Piala Thomas dan Sukan Olimpik.

“Paling penting aksi kelayakan Piala Thomas tidak perlu dibandingkan dengan pencapaian di Sukan Olimpik. Maknanya walaupun kita sudah layak ke Sukan Olimpik tetapi tidak semestinya kita menang pingat emas.

“Jika gagal, perebutan pingat emas juga tidak mudah dinafikan, ”katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Semangat Bola Sepak 1Malaysia sempen Fiesta Bola Sepak 7 Sebelah 1Malaysia, di Putrajaya, semalam.

Katanya, sekarang ini bukan soal menang atau kalah tetapi BAM perlu memandang serius kejohanan ini walaupun ia hanya aksi kelayakan.

“Dalam proses pembangunan ada strategi dan matlamat. Apa juga kejohanan atau temasya yang disertai semua penting. Sekiranya dari awal kita tidak menganggap ia penting, maka tidak perlulah kita hantar kontinjen.

“Kita ada matlamat yang perlu dicapai di kelayakan Piala Thomas kerana ini medan terbaik untuk pelapis menguji prestasi sebenar mereka. Jika mereka tidak dihantar ke kejohanan seperti ini, maka tiada ruang untuk mereka mengukur tahap latihan, kemahiran, fizikal dan mental.

“Tujuan sama juga kita gunakan apabila membuat keputusan menghantar pemain pelapis ke Sukan Sea tahun lalu, kerana mereka inilah yang akan beraksi di Sukan Asia, Sukan Olimpik mahupun di Sukan Komanwel,” katanya yang percaya pasukan lain pasti membuat persiapan terbaik pada kejohanan itu nanti.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.