HASRAT Kelantan untuk mendapatkan khidmat pemain import baharu, Seydi L Imam bagi beraksi dalam Liga Malaysia musim ini tidak kesampaian apabila rayuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ditolak oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FMLLP semalam,  keputusan  itu dibuat selepas mendapati Kafa  masih gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran Liga Malaysia 2017.

“Diputuskan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan terhadap pasukan Kelantan tetap berkuasa dan perpindahan ini tidak dibenarkan kerana pihak Kafa masih gagal memenuhi  kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran.

"Jadi, FMLLP  tidak dapat memberikan kelulusan  budi bicara  atas sebab ia tidak membawa impak  yang  amat positif kepada kedudukan kewangan pihak Kafa," katanya.

Mengenai permintaan Kafa berkenaan masa dan ruang untuk menyelesaikan tunggakan gaji, dokumen Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), dokumen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dokumen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),  FMLLP berkata, pasukan itu tetap diberikan tempoh masa sehingga 31 Oktober depan untuk melunaskan segala pembayaran tersebut.

Tegasnya, jika  Kafa gagal melengkapkan proses pendaftaran pasukan sebelum 31 Oktober depan, The Red Warriors (TRW) boleh disingkirkan ke Liga Perdana pada musim depan.

“FMLLP berharap agar pihak Kafa akan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

"FMLLP juga memohon agar Kafa melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun Kafa tetap mendapat perkhabaran gembira apabila FMLPP membuat keputusan mengurangkan hukuman pemotongan enam mata kepada tiga mata dalam saingan Liga Super.

Keputusan badan pengelola Liga Malaysia itu dibuat selepas meneliti usaha Kafa untuk melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran bagi jumlah tunggakan tertentu.

FMLLP sebelum ini mengambil tindakan tegas dengan menolak enam mata TRW dalam Liga Super kerana gagal menyelesaikan beberapa tuntutan berkaitan tunggakan gaji pemain, dokumen KWSP,  dokumen Perkeso dan dokumen LHDN sebelum 31 Mac lalu yang diperlukan bagi melengkapkan urusan pendaftaran pasukan musim ini.

Dengan pengurangan hukuman itu, skuad TRW yang sebelum ini menduduki tangga kelapan liga melonjak ke tangga kelima dengan mengumpul 17 mata.

Kafa tidak akan berputus asa

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan berputus asa untuk mendaftar pemain import baharunya, Seydi L Iman bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk mendapatkan lebih banyak lagi maklumat selepas pendaftaran tonggak import mereka ditolak badan itu.

“Kita akan terus berbincang dengan FMLLP mengenai  dokumen yang perlukan untuk melengkapkan lagi pendaftaran Seydi.

“Lagipun kita daftarkan Seydi dalam tempoh ditetapkan oleh FMLLP,” katanya.

Sementara itu, Afandi memberitahu, pihaknya lega dengan keputusan FMLLP memulangkan semula tiga mata yang dikenakan terhadap Kelantan sebelum ini.

Katanya, Kafa berterima kasih kepada FMLLP kerana mendengar rayuan yang dikemukakan mereka sebelum ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan pemilihan terbuka bagi membentuk skuad bawah 19 tahun (B-19) menghadapi kempen Piala Belia, musim depan.
  • TEKA-TEKI siapa jurulatih baharu Kelantan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), hari ini, mengumumkan pelantikan Sathit Bensoh mengemudi pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima penajaan RM2 juta sebagai persediaan pasukan Kelantan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan mengenai badan induk itu di media massa dan media sosial.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus memperkuatkan jentera serangan skuad The Red Warriors apabila mendapatkan khidmat pemain dari Korea Selatan, Do Dong-hyun sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.