KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penggantungan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Penggantungan itu berkuat kuasa sejak 30 November lepas.

Kenyataan FAM hari ini menyebut siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM ke atas pegawai dan pemain skuad Piala Presiden pasukan itu mendapati terdapat unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan melibatkan pasukan berkenaan.

Empat pemain iaitu Mohd Yatim Abdullah, D. Adrian, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A'ashari dikenakan penggantungan setahun daripada aktiviti bola sepak dan hukuman tersebut tidak boleh dirayu.

Tujuh lagi pemain iaitu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari, Muhammad Rizqi Azman dan Mohd Hafiz Mohd Nor digantung selama lima tahun dan tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.

"Rayuan hanya boleh dibuat selepas satu tahun dan rayuan hendaklah dibuat secara bertulis kepada FAM," kata badan induk bola sepak negara itu.

FAM turut menyatakan bekas ketua jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas Yusarman Yusof digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dan beliau hanya boleh membuat rayuan bertulis kepada FAM selepas 10 tahun.

Kenyataan itu menyebut pemain dan pegawai Piala Presiden pasukan SDM Pulau Pinang, Johor MP Muar dan Terengganu T-Team 2010 turut digantung sementara sehingga mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad baru-baru ini mendedahkan 18 pemain skuad Piala Presiden negeri dan seorang jurulatih terlibat dengan gejala rasuah musim lepas.

Kesemua 18 pemain tersebut terdiri daripada enam pemain dari pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan, pasukan T-Team (enam) dan pasukan MP Muar (enam). - Bernama