PULAU Pinang tidak sesekali termakan dengan perang saraf yang dilancarkan Selangor yang menganggap mereka bermain seperti ‘meletakkan bas’ di depan gol pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2017.

Menyangkal dakwaan itu kata jurulatih Pulau Pinang, Abd Rahim Hassan, bola sepak moden mewajarkan disiplin taktikal begitu yang turut dilaksanakan dengan berkesan oleh anak-anak buahnya, Sabtu lalu.

“Dakwaan kami hanya ‘parking bas’ hanya perang saraf mereka. Saya tidak salahkan Selangor, itu pendapat mereka.

“Pulau Pinang memerlukan disiplin taktikal yang tinggi dalam bola sepak moden apabila bermain di gelanggang lawan.

“Kami pun bukannya bertahan sepanjang masa kerana ada tiga empat peluang yang kami cipta dalam babak pertama,” katanya merujuk aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam itu.

Ujar Rahim, keputusan itu tetap menjadi tonik moral buat anak-anak buahnya yang wajar dipuji kerana berjaya menjalankan tugas dengan berkesan.

“Semua pemain buat kerja dengan baik. Mereka bertahan dan menyerang sebagai satu pasukan. Semuanya saya anggap wira pasukan,”

“Alhamdulillah, tiada siapa yang tercedera atau mengumpul dua kad kuning bagi menghadapi Selangor semula dalam separuh akhir kedua di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Ahad ini," kata bekas bek tengah Pulau Pinang dari 1995 hingga 2006 ini dan pernah membantu Pulau Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja pada 2002.

Ditanya sama ada gelanggang itu membawa kelebihan atau tekanan berikutan pelawat mungkin berpeluang cerah dengan peraturan gol tempat lawan, katanya: “Saya hanya mahukan pemain saya fokus kepada perlawanan itu, nikmatinya dan hasilnya akan tiba.”

Pulau Pinang musim ini katanya, turut diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman Liga Perdana negeri beberapa musim lalu seperti Sufie Noor Azizan, Amir Omar Khata dan Khairul Iskandar.

PERR musim ini menyaksikan mereka hanya kalah sekali kepada juara Kumpulan D, Kelantan 2-0 di Stadium USM namun menewaskan Angkatan Tentera 2-1, Melaka 3-0 dan MCFA 2-0 selain melepasi Putrajaya dalam suku akhir dengan agregat 3-1.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) mengalu-alukan bakat berkebolehan dari seluruh negeri ini yang berusia 35 tahun ke bawah untuk menyertai sesi pemilihan pemain Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2017.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.