PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pemain Perak walaupun tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Perak tumpas dengan agregat 1-4, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad lepas.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata walaupun berdepan misi sukar, barisan pemain Perak tidak menunjukkan rasa gentar, sebaliknya berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan.

"Malah, ada antara pemain yang menangis kerana sedih tidak dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong.

"Kita berpuas hati dengan pemain, tetapi hanya kecewa dengan keputusan perlawanan. Bagi kita, peminat nampak dan boleh menilai aksi keseluruhan yang dipamerkan pemain," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pemain Perak di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, sambutan itu dihadiri kira-kira 500 penyokong setia skuad The Bos Gaurus.

Abdul Puhat berkata, Pafa menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan berjanji akan meningkatkan prestasi pasukan bagi mencabar kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia pada musim depan.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata beliau terkejut selain berbangga dengan komitmen ditonjolkan anak buahnya walaupun beraksi tanpa lima tonggak utama.

Beliau berkata beberapa pemain muda yang diberi tanggungjawab mengisi kekosongan itu nyata melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Anda boleh saksikan sendiri bagaimana Kenny Pallraj dan Beto (Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri) beraksi. Walaupun jarang diturunkan, aksi mereka semalam antara yang terbaik pernah saya saksikan," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JUARA Liga Super dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT), semalam membuat kejutan apabila menggugurkan dua pemain importnya, Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra sebagai langkah awal membentuk pasukan terkuat bagi menghadapi saingan musim depan.
  • JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat persiapan awal dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan dalam Liga Malaysia musim depan, dengan mendapatkan khidmat dua pemain muda – Adam Nor Azlin dari Selangor dan Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang.
  • HANYA siasatan menyeluruh sahaja yang mampu membersihkan semula nama semua pemain Kedah daripada tuduhan songokan kepada tujuh pemain yang didakwa terima rasuah sebelum final Piala Malaysia 2017 pada Sabtu, minggu lalu.
  • PEMAIN sayap lincah, Azammudin Mohd Akil mengesahkan beliau tiada lagi dalam senarai pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa), tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan berita yang mengatakan bekas pemain import Selangor, Ardik Vermansyah bakal menyarung jersi skuad The Bos Gaurus itu musim depan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.