FELDA United memulakan kempen aksi persahabatan dengan langkah kanan apabila memenangi dua perlawanan pertamanya.

Dalam aksi pertama bertemu Terengganu 14 Jun lalu, The Fighters  menang dengan keputusan 2-1 dan kelmarin satu lagi aksi di Stadium Tun Abdul Razak (Star) Jengka turut berakhir dengan kemenangan dengan membelasah Shahzan Muda 5-2.

Menilai dua perlawanan pertama, pengendalinya B Sathianathan berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan pemainnya.

Namun beliau tetap menyifatkan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Secara keseluruhan, memang ada peningkatan ketara daripada prestasi pemain terutama di bahagian serangan.

"Namun, kita boleh lihat di bahagian pertahanan kita masih ada sedikit kelemahan dengan melepaskan gol dalam dua aksi persahabatan pertama ini.

"Jadi, ini antara perkara yang perlu diberi perhatian sebelum saingan liga bermula nanti," ujarnya.

Dalam aksi persahabatan itu, kelibat penyerang import baharunya, Ifedayo Omosuyi paling mencuri perhatian apabila menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan pertama.

Penyerang kelahiran Nigeria itu menjaringkan satu gol ketika bertemu Terengganu dan turut mencatat hatrik ketika aksi bertemu Shahzan Muda.

Mengulas prestasi penyerangnya itu, Sathianathan menyifatkan Dayo (Ifedayo) berpotensi menjadi senjata utama pasukannya jika kekal konsisten.

"Memang saya berpuas hati dan saya yakin dia ada potensi menjadi penyerang yang baik untuk pasukan.

"Tetapi, untuk menilai daripada dua aksi persahabatan ini bagi saya masih terlalu awal.

"Dia perlu buktikan dalam beberapa perlawanan lagi dan saya berharap dia dapat meneruskan momentum ketajamannya di hadapan gol agar sasaran kami mengejar kedudukan empat terbaik dapat dicapai," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • FELDA United menambah sengat pada jentera serangan mereka selepas mendapat khidmat penyerang Nigeria, Ifedayo Omosuyi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.