PKNP sekali lagi gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kecundang 0-1 kepada PKNS di Stadium Perak, malam tadi.

The Red Ants mengejutkan Perak beberapa minit babak pertama bermula apabila Faris Ramli meledak gol pembukaan minit ke-4.

Tersentak gol berkenaan  kesebelasan PKNP FC bangkit mengatur serangan ke gawang pelawat.

Namun semua serangan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng PKNS hingga tamat babak pertama.

Kedua-dua pasukan menggandakan asakan pada babak kedua bagi menambah jaringan.

Dalam keghairahan menambah jaringan itu, pemain PKNP, Ahmad Sukri Ab Hamid dan pemain import PKNS, Romel Oswaldo Morales diperintahkan keluar padang setelah berlaku insiden pergaduhan kedua-dua pemain minit ke-84.

Beraksi 10 pemain menyaksikan kedua-dua pasukan masih tetap mengasak ke gawang lawan masing-masing bagi meledak jaringan.

Namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan hingga tamat perlawanan.