KETUA Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui tidak akan sesekali menutup pintu kepada enam pemain yang belum melapor diri untuk kembali menjalani kem latihan bersama skuad kebangsaan.

Kim Swee berkata, beliau masih mempunyai masa untuk buat keputusan pemain yang akan dibawa ke Bangkok 19 Julai nanti bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Konfederasi Asia (AFC) B-23 .

"Saya tidak mahu katakan sama ada pemain itu akan kembali bersama kami atau tidak. Tetapi apa yang boleh saya katakan ialah pintu masih lagi terbuka untuk mereka jika mereka mahu kembali bersama skuad ini.

"Ini kerana saya masih lagi mempunyai masa untuk putuskan barisan pemain yang akan di bawa ke Bangkok nanti," katanya.

Kelmarin, Kim Swee hanya berjaya mengumpulkan 22 pemain untuk diturunkan dalam aksi persahabatan bertemu skuad B-22 Myanmar.

Difahamkan, terdapat enam lagi pemain yang masih belum melapor diri iaitu Sapawi Rashid dan Muhd Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim), Mathew Davies dan Mohd Nor Azam Azih (Pahang), serta S Kumahraan dan Syameer Kutty Abba (Pulau Pinang).

Mengulas prestasi anak buahnya dalam aksi persahabatan itu, Kim Swee mengakui belum lagi berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain negara.

Beliau percaya masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi pusingan kelayakan AFC dan juga Sukan Sea Ogos nanti.

"Selepas saya ambil alih skuad ini, saya dapat melihat mereka dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang saya tetapkan. Tetapi ia belum begitu sempurna.

"Namun, saya percaya kami masih mempunyai masa untuk menghadapi dua kejohanan besar nanti dan diharap pemain saya akan beraksi lebih baik di kejohanan itu nanti," katanya lagi.

Sementara itu, bagi Ketua Jurulatih Myanmar, Gerd Zeise walaupun tewas dalam aksi persahabatan itu beliau tidak sesekali menekan butang panik.

Sebaliknya, beliau menyifatkan aksi ini sebagai antara medan untuknya menguji prestasi pemain yang berada di dalam skuadnya.

"Perlawanan ini hanyalah ujian awal untuk melihat sama ada pemain sudah bersedia atau tidak untuk pusingan kelayakan AFC. Jadi keputusan yang kami terima tidaklah begitu memberi kesan kepada saya.

"Apa yang pasti, di pusingan kelayakan AFC dan Sukan Sea nanti kami akan mempunyai strategi dan kesebelasan berbeza," ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI skuad bawah-22 negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak mahu pemain terlalu dibuai mimpi indah selepas layak ke pusingan akhir Piala AFC B-23 2018 di China, Januari depan.
  • KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee sudah mendapat gambaran awal apa strategi yang akan digunakan pada perlawanan getir dengan Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan H Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) di Bangkok, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.