piala uber
$entry.content.caption.value

TINGGAL lagi lima hari skuad wanita badminton negara bakal berdepan aksi kelayakan Piala Uber di Macau bermula Isnin depan dengan pertemuan pertama menentang China sebelum bertemu India, pada Selasa.

Melihatkan situasi semasa, skuad wanita negara tidak lagi sekuat dulu sedangkan skuad negara lain semakin meningkat terutama barisan pemain China seperti Yanjiao Jiang, Xuerui Li dan gandingan­ Qing Tian-Yunlei Zhao antara barisan utama ranking dunia.

Bagaimanapun, gandingan Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei dibawah kendalian Rexy Mainaky tidak boleh dipandang enteng apabila berjaya menampilkan aksi memukau di Terbuka Malaysia baru-baru ini dengan menundukkan pemain beregu pilihan ketiga dari Jepun, Maeda Miyuki-Suetsuna Satoko.

Vivian-Khe Wei yang berada di ranking ke-19 dunia kini hanya fokus mahu melakukan yang terbaik dengan sasaran mengutip satu mata apabila berdepan dengan India.

“Apa yang penting fokus untuk bermain sebaik mungkin, sekali gus menumpaskan setiap lawan,” kata Vivian sejurus tamat sesi latihan di Stadium Juara semalam.

Mengakui berdepan dengan China adalah sukar, Vivian enggan terlalu pesimis dengan menyerah sebelum berjuang sebaliknya akan cuba menampilkan aksi terbaik apabila berdepan seteru utama badminton negara itu.

Bagi rakan gandingannya, Khe Wei yang mengalami kecederaan buku lali masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan sesi latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan berprestij itu.

“Saya hanya mahu fikir positif dan berharap dapat bermain seperti biasa untuk saingan kelayakan Piala Uber nanti,” katanya.

Sekiranya skuad wanita negara berjaya menamatkan saingan peringkat Kumpulan W selaku naib juara mereka dijangka berdepan Thailand yang diramal mudah untuk muncul juara Kumpulan Y.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.