PERLUMBAAN ke-11 hari ketiga pusingan kelayakan Piala Monsun 2012 mencatat sejarah tersendiri apabila Datuk Peter Gilmour bertembung anaknya, David, pada aksi di Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.
   
Ini merupakan pertemuan perlumbaan kali pertama Peter, 52, daripada pasukan Yanmar Racing antara David, 21, daripada pasukan Team Gilmour dalam mana-mana perlumbaan berskala antarabangsa.
   
Pertembungan yang dilihat penuh nostalgia antara ayah dan anak dari Australia itu memperlihatkan pengalaman yang luas telah diaplikasikan jurumudi
veteran itu untuk muncul juara dalam saingan itu.
   
Pencapaian Peter itu seterusnya dilihat berpeluang cerah mara ke suku akhir pada saingan pagi esok dengan kini mengumpul tujuh kemenangan dan tiga kalah sehingga kini.
   
Peter masih mempunyai baki satu pertemuan yang dijangka mudah dengan pelayar tunggal negara, Jeremy Koo (KFC Malaysia/KRT) bagi menempah slot suku akhir.

Namun perlumbaan bertemu anaknya ini juga bakal menjadi yang terakhir buat Peter, ikon pemenang Anugerah BrandLaureate, yang mengumumkan persaraannya dalam sirkit terakhir Alpari World Match Racing Tour (AWMRT).
   
Pada perlumbaan tersebut, pelayar veteran yang merupakan juara dunia empat kali siri AWMRT itu nyata tidak memberi peluang sama sekali kepada anaknya yang mengisi slot wildcard Asia pada sirkit terakhir di sini, kalendar jelajah AWMRT musim ini.
   
Peter ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaaan mengakui kemampuan krew diketuai David yang jelas memberikan saingan meskipun anaknya masih baru dalam arena pelayaran dan perlu menimba ilmu sebaiknya.
   
"Saya benar-benar bangga dengan beliau. Malah ia adalah perlumbaan baik. Saya fikir ini adalah masa yang saya berikan kepada generasi muda (anaknya) meneruskan legasi saya," kata Peter yang kini sebagai Penasihat Perlumbaan Piala Monsun.
   
Sementara itu, David, jurumudi termuda dalam pertandingan itu, berkata Piala Monsun adalah satu acara yang besar dan agak berat bagi dirinya terutama apabila tidak mempunyai pengalaman seperti peserta lain.
   
"Saya harap kita (dia dan bapanya) boleh berlumba lagi dalam acara regata akan datang atau mana-mana perlumbaan walaupun ayah telah mengumumkan persaraannya.
   
"Saya akui, ini adalah perlumbaan sukar menentang ayah," katanya yang memenangi Regata Warren Jones 2012 di Australia untuk mengisi 12 tempat jurumudi di sini.
   
Walaupun kalah kepada ayahnya dengan perbezaan masa satu minit 03 saat dan tiada peluang untuk layak ke pusingan seterunsya, David bagaimanapun mengumpul empat daripada sembilan mata kemenangan selepas mengatasi beberapa jurumudi yang lebih berpengalaman.
   
Beliau mengatasi bekas juara jelajah, Adam Minoprio (Alpari Racing Team), Johnie Berntsson (Berntsson Sailing Team), wakil wildcard negara Jeremy Koo (KFC Malaysia/KRT) dan juara ISAF World Match Racing, Ian Williams dari pasukan Gac Pindar. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.