PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic mengakui pasukannya berdepan misi sukar selepas sekadar terikat 0-0 dengan PKNS FC pada pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 di Stadium Perak, malam tadi.

Beliau berkata meskipun melancarkan serangan dan mengawal keseluruhan permainan, namun anak didiknya gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang di hadapan pintu gol lawan.

"Kami lakukan kesemuanya kecuali menghasilkan jaringan. Dari awal hingga akhir minit, kami mengawal permainan. Mungkin satu atau dua peluang yang kami dapat itu sepatutnya menghasilkan gol.

"Apa pun kami perlu mencari kemenangan pada aksi suku akhir kedua nanti di Shah Alam sekali gus layak ke peringkat separuh akhir," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Perak bakal berdepan PKNS FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2018 yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam, 30 Sept ini.

Durakovic berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan ditampilkan skuad The Bos Gaurus terutama tonggak di barisan pertahanan yang penuh berdisiplin dan tidak membenarkan pihak lawan menjaringkan gol.

Sementara itu, jurulatih PKNS Datuk K. Rajagobal berkata beliau berpuas hati dengan persembahan dan keputusan yang dicapai pasukannya.

Beliau berkata anak didiknya bermain dengan penuh disiplin dan berjaya menyerap tekanan yang dilakukan tuan rumah untuk menghasilkan jaringan.

Mengulas mengenai pertembungan suku akhir kedua, katanya beliau berharap para pemain tidak mensia-siakan sedikit kelebihan yang dimiliki itu untuk mengisi slot separuh akhir.  - Bernama