TERENGGANU City FC (TCFC) muncul juara Piala FAM 2018 selepas menundukkan Selangor United 2-0 di Stadium KLFA Cheras sebentar tadi.

TCFC atau nama gelarannya The Sharks bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-51 untuk membuka tirai jaringan menerusi Razihi Rasib.

Razihi yang menerima umpanan Khairul Ramadhan tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan TCFC mendahului.

Tersentak dengan gol pendahuluan, Selangor United kembali memperkemaskan permainan, namun gagal menemui penyudah untuk mengikat kedudukan.

Sebaliknya, TCFC terus selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Khairul Ramadhan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72.

Semuanya berpunca apabila Razihi dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Selangor United.

Seminit sebelum tamat perlawanan, TCFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain gantian, Izzaq Faris Ramlan dilayangkan kad merah apabila mengasari pemain lawan.

Kekurangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada TCFC apabila pengadil meniupkan wisel penamat sekali gus memberikan kemenangan mutlak buat kelab yang berpengkalan di Terengganu untuk membawa pulang trofi keramat Piala FAM.

Untuk rekod, TCFC dan Selangor United kedua-duanya bakal menjadi pencabar baharu dalam saingan Liga Premier musim depan.