piala axiata
$entry.content.caption.value

KUALA LUMPUR - Kejohanan Badminton Piala Axiata, yang dianjurkan pertama kalinya oleh Axiata Group Berhad khusus untuk pemain lelaki dengan taruhan hadiah wang tunai bernilai US$1 juta (RM3.03 juta), akan diadakan serentak di dua venue di Malaysia dan Indonesia bermula 23 Mac ini.

Pemain dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina akan dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk berentap selama empat minggu mengikut format berpasukan lelaki.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata pemain elit negara di bawah naungan BAM seperti Datuk Lee Chong Wei dan pemain dari kelab-kelab badminton dibenar mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

"Format kejohanan Piala Axiata berbeza daripada kejohanan lain kerana setiap negara boleh mengambil khidmat pemain luar dari negara bukan peserta seperti dari China atau Denmark. Kejohanan ini juga terbuka kepada pemain kelab badminton negara.   

"Kejohanan ini memberi peluang kepada pemain dalam kelab negara contohnya Zulfadli Zulkifli (pemain perseorangan remaja kebangsaan) untuk bertanding dan ini peluang buat pemain sepertinya," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Piala Axiata oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Datuk Seri Jamaludin Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
    
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Agung Persekutuan Badminton Asia Surasak Songvarakulpan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Total Sports Asia Marcus Leur.

Mohammed Al-Amin berkata BAM juga akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih mengenai kejohanan itu dalam masa terdekat.
    
"Untuk pemilihan pemain, sudah tentu kita akan mengambil kira barisan pemain utama untuk mendapat kejayaan, tetapi terpulang kepada pihak jurulatih.

"Bagi saya ini dilihat sebagai persiapan untuk pemain kita sekiranya layak ke final Piala Thomas Mei ini dan Olimpik nanti," katanya.   

Terdahulu, Leur berkata lapan pasukan dari Asia Tenggara akan mengambil bahagian dengan Malaysia dan Indonesia, masing-masing dengan dua pasukan.    
    
"Perlawanan separuh akhir dan akhir akan diadakan mengikut format di tempat sendiri dan tempat lawan. Setiap perlawanan antara pasukan menampilkan tiga perlawanan iaitu dua perseorangan dan satu beregu," katanya.

Beliau berkata juara akan membawa pulang US$400,000 (RM1.21 juta), tempat kedua US$200,000 (RM605,634) dan dua pasukan yang kalah pada peringkat separuh akhir masing-masing membawa pulang US$100,000 (RM302,817) manakala empat pasukan yang gagal melayakkan diri ke separuh akhir masing-masing memperoleh US$50,000(RM151,408). - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.