PRESIDEN Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar menyatakan keterbukaan bekerjasama dengan pucuk pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan dipilih Sabtu ini.

Kongres Pemilihan FAM ke-53 itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi perebutan jawatan Presiden FAM antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Pada masa sama, beliau juga mahu calon yang menang dalam perebutan kerusi panas FAM itu nanti lebih peka terhadap isu yang melibatkan pemain bola sepak di negara ini.

“Kami di PFAM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan barisan kepimpinan terbaharu FAM dan kami juga berharap barisan baharu akan lebih terbuka untuk bekerjasama dengan kami.

“Apa yang kami harapkan ialah barisan kepimpinan baharu lebih peka kepada isu yang melibatkan pemain seperti gaji dan masalah-masalah lain yang saban tahun menjadi masalah.

“Apa pun, kami meletakkan keyakinan tinggi barisan kepimpinan baharu dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Hairuddin turut berharap presiden baharu nanti dapat membawa perubahan dalam badan induk itu.

“Kalau kita nak bergerak ke hadapan dan majukan bola sepak, bola sepak kita perlulah berubah secara total.

“Maksudnya dari segi liga, pembangunan pemain muda, dan keseluruhannya. Kalau kita lihat visi yang ditawarkan kedua-dua calon presiden, kedua-dua visi yang ditawarkan memang menarik.

“Saya harap lepas kepimpinan baharu dibentuk, visi dan misi itu dapat dijalankan sebaik mungkin. Sebab kita tahu baik penyokong dan semua rakyat Malaysia mahukan bola sepak kita berubah dan terus bergerak ke hadapan.

“Saya berharap satu transformasi yang besar dapat berlaku untuk bola sepak Malaysia selepas ini,” ujarnya lagi.

Hairuddin turut menyampaikan pesanan kepada perwakilan untuk membuat pemilihan dengan bijak dan matang serta memilih individu yang benar-benar berkelayakan dan bukannya atas dasar peribadi semata-mata.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARISAN kepimpinan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkesempatan menziarahi penjaga gol pasukan PDRM, Muhammad Hamdan Sairi di kediaman mertua beliau di Sungai Kandis, Shah Alam hari semalam.
  • PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menyambut baik pelaksanaan hukuman pemotongan mata oleh Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang dikenakan terhadap empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M).
  • PENYERANG import Negeri Sembilan, Bruno Suzuki dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my bagi Februari 2017.
  • PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberitahu yang pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung masalah tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.