BARISAN kepimpinan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkesempatan menziarahi penjaga gol pasukan PDRM, Muhammad Hamdan Sairi di kediaman mertua beliau di Sungai Kandis, Shah Alam hari semalam.

Antara yang hadir adalah Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, Izham Ismail.

“PFA Malaysia sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakan-rakan pemain dan kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu saudara Hamdan.

“Semoga Hamdan kuat dalam melawan penyakit yang beliau hadapi dan pastinya kami akan setiasa memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepada Hamdan,” tambah Hairuddin.

Pada pertemuan tersebut, PFAM turut menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada Hamdan.

Seperti mana yang tular di laman sosial sebelum ini, Hamdan telah disahkan menghidap penyakit leukimia.

Beliau kini sudah menjalani rawatan kimoterapi pertama pada 19 Jun lalu dan akan menjalani rawatan kimoterapi kedua yang dijadualkan pada 24 Julai ini di Hospital Ampang.

Hamdan juga terpaksa melupakan bola sepak untuk sementara waktu kerana memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

"Kami mewakili seluruh warga PFAM ingin memohon ihsan semua lapisan masyarakat untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan kepada saudara Hamdan. Semoga dengan bantuan yang diberikan, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan beliau.

"Untuk sebaran sumbangan kepada saudara Hamdan bolehlah berhubung terus dengan isteri beliau iaitu Puan Nordiani Abdul Rahim di talian 0122115392.

"Kami di PFAM mendoakan agar Hamdan dapat pulih sepenuhnya dan kembali beraksi seperti sedia kala," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menyambut baik pelaksanaan hukuman pemotongan mata oleh Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang dikenakan terhadap empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.