PETUGAS media khususnya wartawan sukan tanah air dinasihatkan supaya membuat persediaan rapi sebelum membuat liputan temasya sukan terbesar Asia Tenggara, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan membuka tirainya bulan depan.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa berkata, cabaran besar menanti setiap warga media sukan yang bertugas bagi memberi liputan terbaik untuk kontinjen negara sepanjang temasya dwitahunan itu.

“Kebiasaannya apabila kita menjadi tuan rumah kelompok wartawan sukan negara adalah yang paling sibuk kerana matlamat utama kontinjen negara adalah untuk menjadi juara keseluruhan. Oleh itu, sasaran jumlah pingat juga besar.

“Kita tidak mahu terlepas daripada memberikan liputan terbaik, jadi nasihat saya kepada semua petugas media ialah bersedia untuk berkerja keras kerana apa yang penting kita mahu berkongsi setiap saat suka-duka atlet negara dengan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri SAM di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, semalam.

Sementara itu, Khawari berkata, kerja-kerja menyediakan ruang kerja bagi petugas media di Pusat Media Utama (MPC) yang terletak di Pusat Pameran dan Dagangan Malaysia (MITEC) sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Beliau turut memberi jaminan ruang kerja yang akan memuatkan lebih 1,000 petugas media  dari seluruh Asia Tenggara itu akan dilengkapi segala kemudahan yang diperlukan bagi memastikan mereka dapat bertugas dalam keadaan selesa.

“Tiada sebarang masalah sehingga kini dan saya percaya sebelum kehadiran pertama kumpulan media asing pada hujung minggu pertama Ogos ini, segala kemudahan akan tersedia untuk mereka dan kita juga akan pastikan tidak akan ada masalah dari segi kemudahan,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEORANG atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu dipercayai adalah antara tiga atlet yang gagal ujian doping.
  • PEMAIN tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan yakin dapat memecah dominasi Thailand bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
  • SKUAD olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17hingga 23 Sept ini.
  • SKUAD angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.
  • LEONG Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet tambah emas ke-12 buat skuad terjun negara menerusi acara 10 meter platform Seirama Wanita Sukan SEA kali ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.