PENGANJUR Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, Perak menjanjikan pembukaan rasmi gilang-gemilang persis temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, upacara pembukaan rasmi itu yang akan berlangsung di Stadium Perak, malam esok, bakal menggunakan teknologi sama pada dua temasya sukan terbesar tersebut.

“Majlis perasmian ini akan setanding dari segi teknologi yang digunakan pada Sukan Olimpik Rio dan Pyeongchang. Jadi ‘Rio dan Pyeongchang’ kami bawa ke Perak.

“Penganjur tidak menggunakan sistem tiket untuk majlis perasmian, kami buka kepada semua warga Perak dan pengunjung dari seluruh Malaysia yang ingin menunjukkan semangat kesukanan dan cintakan negara,” katanya ketika ditemui di pusat media di Kompleks Pusat Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini hari ini.

Majlis pembukaan itu juga bakal menyaksikan obor berbentuk Keris Taming Sari yang merupakan antara kelainan bakal ditampilkan, katanya.

Beliau berkata, majlis pembukaan itu juga akan menampilkan persembahan tarian, perarakan kontinjen negeri yang bertanding serta larian obor.

Howard berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 40,000 pengunjung akan menghadiri majlis perasmian tersebut serta karnival yang diadakan di luar stadium berkenaan.

"Stadium Perak boleh menampung 25,000 orang. Jadi dengan karnival di luar stadium, saya yakin tidak kurang 40,000 orang yang akan hadir," katanya bahawa tiga skrin besar turut akan disediakan di luar stadium.

Sukma 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept, dengan menawarkan 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Penganjuran Sukma 2018 adalah kali kedua bagi Perak selepas kali terakhir 24 tahun lepas. - Bernama