rashid sidek
$entry.content.caption.value

MESKIPUN harapan yang dicongakkan hampir tipis kepada skuad badminton negara di kejohanan Piala Thomas yang berlangsung di Macau bermula Isnin depan, baik pemain mahupun jurulatih tetap optimis mahu mencipta kejutan untuk menang sekali gus memecah kebuntuan negara selama hampir 20 tahun tidak memenanginya sejak 1992.

Saingan getir dihadapi negara turut diakui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihatkan barisan pemain yang disenaraikan rata-ratanya tidak konsisten dalam kejohanan yang berlangsung sepanjang tahun lepas melainkan sandaran utama yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Enggan tertekan dengan pandangan cetek sesetengah pihak, bagi ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek persiapan rapi yang dilakukan pada setiap pemain penting supaya mutu permainan dapat ditingkatkan untuk berdepan kejohanan berprestij dunia itu.

“Tekanan sememangnya ada kerana kita mahu menang dan apa yang penting setiap pemain fokus pada setiap perlawanan untuk menumpaskan siapa jua lawan
“Setakat ini, sesi latihan berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Juara semalam.

Yakin dengan kemampuan setiap pemain, Rashid menegaskan latihan simulasi yang berlangsung hari ini penting supaya setiap pemain menampilkan aksi terbaik untuk meningkatkan keyakinan bagi berdepan dengan pasukan-pasukan yang kuat.

“Simulasi ini penting kerana mereka perlu tampilkan apa yang telah dilakukan dan dididik pada sesi latihan dapat dipersembahkan pada masa perlawanan,” katanya.

Selain Chong Wei, tiga lagi pemain yang menggalas tugas selaku perseorangan negara ialah Muhamad Hafiz Hashim kedua, Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latiff manakala beregu pula dibarisi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.