KERAJAAN Perak selaku tuan rumah Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 akan memastikan segala fasiliti dalam temasya sukan itu mencapai mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) sejajar dengan hasrat menjadikan negeri ini selaku penganjur terbaik temasya sukan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memastikan keselesaan kesemua 15 kontinjen bukan sahaja di lokasi pertandingan, malah di tempat penginapan

"Kesemua venue yang ada di dalam kompleks ini (peserta) boleh berjalan kaki atau berkerusi roda.

"Jadi ini satu kelebihan yang dapat menunjukkan azam kerajaan negeri untuk pastikan segala fasiliti mesra OKU,” katanya selepas  menyempurnakan  majlis  penyerahan bendera kontinjen Para Sukma 2018 di Dewan Serbaguna Kompleks Belia di sini hari ini.

Beliau berkata, Para Sukma kali ini yang berlangsung dari 21 hingga 28 November ini mempertandingkan 10 acara dan daripada jumlah itu, sembilan venue terletak di dalam kawasan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala satu lagi acara Tenpin Boling di Ipoh Parade.

Dalam pada itu, Lee berharap kontinjen Perak dapat memungut sekurang-kurangnya 25 pingat emas sekali gus menjadi juara keseluruhan pada temasya kali ini.

Temasya Para Sukma 2018 melibatkan 2,046 atlet, pegawai, pengurus dan jurulatih daripada 15 kontinjen yang bertanding serta 10 sukan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, ping-pong, "powerlifting”, tenpin boling dan boling padang.

Majlis pembukaan akan diadakan pada Jumaat ini pada pukul 8 malam di Stadium Indra Mulia di sini, yang akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta bagi menjadikan Ipoh sebagai sebuah Bandaraya Sukan.

"Perbincangan mendalam telah diadakan antara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq,  Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri Mohd Hata Saliman dan saya bahawa telah diperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf kompleks JBS.

Peruntukan ini adalah untuk perancangan lain sebelum ini tetapi kita sedang meminda perancangan ke arah menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Sukan seperti yang diumumkan menteri besar sebelum ini," katanya. - Bernama