IPOH - Perak bakal kehilangan dua pingat emas yang disasarkan dalam Sukma ke-19 selepas salah seorang atlet wushu disahkan cedera oleh doktor dan tidak boleh bertanding dalam kejohanan berkenaan.

Exco kerajaan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya amat berdukacita dengan perkhabaran berkenaan dan simpati terhadap atlet wushu bagi kategori taolu itu.

"Semalam saya dapat berita bahawa salah seorang atlet dari kontinjen wushu disahkan cedera dan tak boleh bertanding dan ia sesuatu yang mengejutkan kami kerana beliau adalah penyumbang prospek pingat yang kita sasarkan.

"Bagaimanapun kita masih ada kontinjen lain dari acara lain yang mungkin bakal membuat kejutan memberi emas kepada negeri dalam Sukma kali ini," katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live di sini, hari ini.

Menurut Howard dia juga berasa kesal apabila dimaklumkan kecederaan yang menimpa atlet berkenaan disebabkan masalah kekurangan kemudahan dan peralatan sukan ketika menjalani latihan.

"Kecederaan berlaku semasa latihan, ia datang kerana peralatan yang sepatutnya kita ada tetapi belum ada walaupun sebelum ini kita pernah utarakan masalah tersebut.

"Tanpa menuding siapa salah,  saya mewakili kerajaan negeri baharu memohon maaf atas kejadian yang berlaku walaupun kami baru ambil alih daripada pentadbiran sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai sasaran 50 pingat hingga 54 yang ditetapkan sebelum ini, Howard berkata, pihaknya yakin ia dapat dipenuhi walaupun bakal kehilangan dua pingat dari wushu kerana percaya akan ada atlet akan membuat kejutan pada temasya berkenaan.