PERTAHANAN Lincoln City, Luke Waterfall percaya ramai penyokong Arsenal yang mahu melihat kelab kendalian Arsene Wenger itu kecundang kepada Lincoln dalam saingan Piala FA, awal pagi ini.

Malah, kata Waterfall, dia turut menjangkakan ramai penyokong Arsenal akan beralih arah dan menyokong Lincoln dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Emirates itu.

Menurutnya, tindakan penyokong itu sebagai satu tekanan kepada Wenger untuk meninggalkan kelab berikutan prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

“Dia dalam tekanan. Penyokong Arsenal pasti mahukan kami menang ke atas mereka.

“Kami juga yakin Wenger akan menurunkan barisan terkuat mereka untuk memastikan kemenangan.

“Kami juga akan bermain cara kami dan tidak akan sekali-kali bertahan. Dibelakang kami bukan hanya ada 9,000 penyokong, tetapi 60,000 penyokong Arsenal yang berpaling tadah,”katanya.

Arsenal ketika ini berada pada prestasi yang tidak menentu apabila kalah besar pada Liga Juara-Juara tempoh hari sehingga menimbulkan kemarahan penyokong yang mahukan Wenger berundur.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.