ISU pengadilan di antara T-Team dan Kedah pada perlawanan ke-10 Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, kelmarin masih hangat walaupun tahu segala keputusan adalah muktamad.

Bukan kekalahan besar 5-0 Kedah kepada T-Team menjadi pertikaian sebaliknya tindakan pengadil, J Suresh yang melayangkan kad merah kepada pertahanan Kedah, Rizal Ghazali yang bertindak balas kepada terjahan keras lawan, Muhd Fakrurazi Musa pada minit ke-31.

Pelbagai persoalan timbul apabila pemain T-Team tersebut hanya dilayangkan kad kuning kerana rata-rata penyokong percaya tindakan berkenaan mampu mendatangkan kecederaan serius kepada Rizal.

Dakwa mereka, bukan kali pertama perkara yang sama dilalui oleh Hijau Kuning selepas faktor sama iaitu mutu pengadilan turut diperkatakan pada perlawanan minggu lepas membabitkan perlawanan di antara Kedah dan PKNS berkesudahan 1-1 di Stadium Darul Aman.

Pengerusi Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Mohd Noor Farzli Adenan berkata, pengadil adalah watak penting dalam menentukan kerancakan dan menariknya sesuatu perlawanan.

Namun keputusan pengadil kelmarin boleh dipertikaikan telah membunuh semangat pasukan Kedah.

"Sekiranya sistem pengadil tidak diubah, sudah tiba masanya Liga Malaysia mengguna pakai khidmat pengadil luar. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memandang serius isu ini kerana kita bukan tidak yakin dengan kemampuan pengadil tempatan tetapi keyakinan penyokong semakin terhakis," katanya kepada Sinar Harian.

Perkara sama turut disokong oleh Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Red Eagle Frenz Kedah, Mohd Amirul Ashraf Abu Mansor yang mahu isu tersebut diberi perhatian serius oleh FAM.

Jelasnya, penyokong menghormati tugas pengadil namun perlu adil di dalam membuat sebarang keputusan.

"Kami percaya Rizal spontan membuat tindak balas apabila beliau keras diterjah dan tidak menafikan hukuman perlu diberikan kepadanya namun pada waktu yang sama perlu mengambil kira tindakan pemain lawan yang boleh mendatangkan kecederaan serius kepada Rizal," tegasnya.

Dalam pada itu, jurucakap Ultras Kedah, M Haziq Fahimy Abdullah berkata, penilaian berterusan perlu dilakukan ke atas mutu pengadilan tempatan selepas ini untuk mengembalikan kepercayaan penyokong kepada pihak ketiga semasa perlawanan berlangsung.

Menurutnya,  mutu pengadilan yang rendah, banyak keputusan dibuat meragukan bukan sahaja memberikan kesan kepada emosi pemain malah juga kepada penonton.

"Ultras Kedah sokong dengan keputusan FAM untuk meningkatkan sistem pengadil di Liga Malaysia namun perlu bebas dari dipengaruhi oleh pihak luar," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri apabila diaibkan dengan kekalahan 1-5 ketika turun melayan kunjungan Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya mencipta kebangkitan apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan A, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
  • KEHADIRAN semula lima pemain muda Kedah dari skuad Malaysia Bawah 22 Tahun berjaya memberi banyak pilihan kepada pasukan tersebut untuk mengilirkan pemain dan hasilnya mereka gah membenam Kelantan 5-0 pada perlawanan ke-18 Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.
  • PENYERANG Kedah, Ken Ilso Larsen menyifatkan persefahaman di kalangan semua semakin baik berbanding kehadiran awalnya bersama pasukan tersebut musim ini.
  • PENYERANG Malaysia Bawah 22 Tahun (B22), Syafiq Ahmad mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu Kedah selepas berjaya membawa pasukan kebangsaan mara ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.