BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan kecemerlangan dengan mengatasi pasangan nombor dua dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong untuk layak ke final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, di sini hari ini.

Pada pertemuan sulung dengan pasangan dari China itu, Peng Soon-Liu Ying dengan mudah mengatasi lawannya dalam straight set 21-18, 21-16 untuk membuat perhitungan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia, pada final esok.

Pasangan nombor tiga dunia dari Indonesia iti tidak menghadapi masalah untuk menempah slot ke final apabila dengan mudah mengalahkan rakan senegara, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dengan straight set 21-18, 21-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Berdasarkan prestasi 'giant-killer’ pasangan Malaysia itu pada kejohanan ini, tidak mustahil untuk Peng Soon-Liu Ying menebus kekecewaan dengan pasangan pilihan utama dari Indonesia itu selepas pertemuan terakhir pada final Sukan Olimpik Rio.

Pada final temasya Olimpik itu, Peng Soon-Liu Ying menang pingat perak selepas kalah kepada gandingan Indonesia itu dalam straight set 21-14, 21-12.

Biarpun hanya menang sekali dalam 10 pertemuan antara mereka sebelum, gandingan Malaysia itu tetap mempunyai peluang untuk melakukan kejutan pada kejohanan bernilai US$1.2 juta (RM4.84 juta) itu.

Peng Soon, ketika ditemui, berkata mereka berpuas hati  dengan permainan hari ini dan berharap dapat melakukan yang terbaik pada final.

"Kami  hormati mereka, beregu campuran terbaik dunia," kata Peng Soon mengenai lawannya di pentas final esok.

Menurutnya, mereka bukan sahaja sudah  bersedia untuk memberi tentangan sengit kepada lawannya itu malah berdepan dengan ribuan penyokong tempatan di Istora Senayan.

"Kami dah bersedia dan akan "lawan satu stadium" esok,” katanya. - Bernama