PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengakui dana penajaan diterima untuk menampung Kelantan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2018 masih belum mencukupi.

Menurutnya, Kafa masih mengharapkan beberapa penaja besar menaja pasukan itu dalam masa terdekat.

“Setakat ini jumlah penajaan hanya sekitar 50 peratus daripada jumlah yang diperlukan dan tidak cukup untuk menampung satu musim.

“Peruntukkan yang diperlukan minimum adalah sekitar 10 juta dan saya mengharapkan ada lagi pihak yang sudi menaja pasukan Kelantan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani penajaan bersama syarikat AL Ikhsan, Konsortium Mutiara, Yakult dan ROHM Semiconductor di sebuah hotel di Subang semalam.

AL Ikhsan diwakili Pengurus Besar, Anwar Mamtaj, Yakult diwakili pengarah urursannya Hiroshi Hamada dan ROHM Semiconductor diwakili Presidennya, Hideki Hashimoto.

Bagaimananapun, Bibi Ramjani enggan mendedahkan jumlah tajaan yang diterima dari keempat-empat syarikat tersebut.

Katanya lagi, sumber gaji pemain juga masih menggunakan kewangannya sendiri berikutan kekurangan dana.

“Gaji pemain untuk bulan 12 masih menggunakan duit saya sendiri. Tapi tak apa asalkan dapat menggerakkan pasukan.

“Untuk menampung perbelanjaan pasukan, saya juga membuat perniagaan melalui Kafa iaitu mengadakan perlawanan persahabatan dan sebagainya.Ia sedikit sebanyak memberikan dana kepada pasukan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada AL Ikhsan, Konsortium Mutiara, Yakult dan ROHM Semiconductor yang sudi menaja Kelantan.