ALOR SETAR - Pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan tampil membuat permohonan maaf kepada kepada enam pemain Kedah dan Ketua Jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusof yang didakwa jual perlawanan pada Final Piala Malaysia 2017.

Enam pemain yang dituduh olehnya menerima suapan adalah Arif Farhan Md Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisham Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Chek Kassim, dan ketua pasukan Mohd Khairul Helmi Johari.

Permohonan maaf berdurasi dua minit 47 saat dilakukan secara umum melalui rakaman video yang tular semalam di Facebook kelab-kelab penyokong bolasepak dan aplikasi, WhatApps.

Selain itu ia turut dimuat naik di YouTube melalui akaun Ridzwan Nadine.

Menerusi rakaman itu, pemilik akaun Facebook yang turut menutup sebahagian mukanya dan memakai kaca mata hitam mengakui status tersebut ditulis atas dorongan perasaan marah apabila Kedah tewas pada perlawanan tersebut.

Katanya, dia telahpun membuat laporan polis pada 9 November lalu dan mendakwa berusaha berjumpa pemberita serta memberi kenyataan media pada 30 November lalu di Alor Setar, namun malangnya ia tidak dihebahkan atau disiarkan sehingga semalam.

Pada 8 November lalu, Muhammad Ridzwan memuatkan status 'calon2 jual game FINAL PIALA MALAYSIA 2017 Nidzam Adha, Arif Farhan, Rizal Ghazali, Amirul, Syazwan Zainol, Ifwat, Khairul Helmi'.

Sebelum ini, penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail memberikan Ridzwan tempoh 14 hari bermula 18 November untuk tampil memberikan penerangan dan menunjukkan bukti berhubung dakwaannya itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap bekas pemain pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team atas kesalahan memberi keterangan palsu dalam satu kes perbicaraan mengatur perlawanan bola sepak membabitkan pasukan itu dengan pasukan Pahang, enam tahun lalu.
  • PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini memuji ketegasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menangani isu rasuah dan mengatur perlawanan melibatkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
  • KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa kecewa ekoran isu rasuah masih membelenggu sukan bola sepak negara.
  • IPOH - Tanda tanya mengenai nasib pegawai dan pemain skuad Seladang yang dipanggil Jawatankuasa Disiplin Pafa menjalani siasatan dalaman akhirnya terungkai apabila mereka dibebaskan daripada tuduhan sabotaj.