"KALAU turunkan tandatangan, saya akan beri anak awak beraksi bersama pasukan Selangor".

Itu janji yang diberikan kepada Mohd Rasib Wali Mohammad yang merupakan salah seorang ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menyokong pemberontakan mendesak Kongres Luar Biasa (EGM) dalam badan induk itu.

Mohd Rasib mendedahkan janji itu ditabur selepas pihaknya menarik balik tandatangan awal yang dikeluarkan sebelum ini.

Jelasnya, terdahulu beliau menandatangani surat berkenaan selepas didekati seorang ahli gabungan yang juga kenalan rapatnya dengan mengatakan tandatangan tersebut bagi menyokong  Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai presiden FAS.

Namun, penipuan itu terbongkar apabila beliau dicari pihak polis yang mahu mendapatkan kepastian daripada pihaknya berhubung tandatangan tersebut.

"Pihak polis hubungi saya pada jam 12.30 malam dan saya berjumpa mereka lebih kurang pada jam 1 pagi. Saya ditemani menantu saya dan pada waktu itu barulah saya tahu tandatangan saya sudah disalah guna pihak terbabit untuk kepentingan sendiri.

"Selepas menjelaskan kepada polis perkara sebenar, saya telah menarik balik tandatangan tersebut kerana bagi saya biarlah muka baharu buktikan kemampuan mereka pula," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rasib berkata beliau kembali didekati pihak memberontak yang tetap mahukan beliau menurunkan tandatangan selain cuba menyogoknya dengan janji manis bagi menyokong agenda jahat itu.

Beliau bagaimanapun menolak secara baik kerana enggan menambah kemelut sedia ada yang boleh menjejaskan pelan transformasi skuad Gergasi Merah itu.

"Saya dihubungi banyak kali untuk menurunkan tandatangan kali kedua. Mula-mula daripada ahli gabungan berbangsa Melayu dan selepas itu saya turut dihubungi seorang wakil berbangsa India.

"Saya tetap berkeras dengan keputusan menyokong pengurusan sedia ada dan selepas itu mereka tidak lagi menghubungi saya," katanya lagi.

Mohd Rasib menjadi ahli gabungan kedua membuat pendedahan menjadi mangsa penipuan pemberontak dalam FAS. Sebelum ini, Presiden Kelab Bola Sepak Tunas Lagenda, Bakri Ibni turut 'dikelentong' pihak terbabit yang cuba mengganggu keharmonian dalam FAS.

Sukan Sinar difahamkan, lebih 20 ahli gabungan yang lain turut menarik balik tandatangan yang dikeluarkan sebelum ini.