SELEPAS tamat Piala Tan Sri P Alagendra yang menyaksikan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) muncul juara untuk kali pertama, tumpuan kini terarah kepada TNB Liga Hoki Malaysia 2018 yang akan membuka tirai hari ini hingga 10 Februari ini, apatah lagi dengan kehadiran 24 pemain import secara keseluruhan dilihat menghangatkan lagi saingan liga musim ini.

Empat pasukan, Terengganu Hockey Team (THT), KLHC, UniKL dan Maybank melengkapkan kuota enam pemain import untuk disenaraikan dalam pasukan dan sepuluh pemain import dari Australia dilihat menguasai jumlah keseluruhan 24 pemain diikuti pemain Argentina (lima orang), Korea Selatan, Belanda dan Pakistan masing-masing dua pemain dan Jerman, England serta Ireland dengan seorang pemain.

Paling mencuri tumpuan tentunya pemain import THT yang membawa empat pemain Argentina selain masing-masing seorang pemain dari Jerman dan Pakistan.

Daripada empat pemain dari Argentina, tentunya Gonzalo Peillat jadi tumpuan utama peminat hoki tempatan di mana Peillat baru saja dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir Piala Tan Sri P Alagendra 2018 dan muncul penjaring terbanyak dengan enam gol pada aksi pertama di Malaysia.

Selain itu, kredibiliti dan rekod dipegang Peillat menjadi bualan peminat tempatan, di mana beliau merupakan pemain yang membantu Argentina untuk memenangi pingat emas dua edisi Sukan Olimpik 2012 dan 2016, selain penjaring terbanyak bagi Piala Dunia 2014 di Hague dan Sukan Olimpik Rio 2016.

KLHC juga tidak ketinggalan untuk menampilkan pemain import terbaik dan mereka telah mendapatkan khidmat import Korea Selatan, Jang Jonghyun yang telah beraksi bersama THT pada musim lalu yang juga pemain kebangsaan Korea Selatan bersama rakan senegaranya Lee Nam Yong.

Penjaga gol import pasukan UniKL dari Ireland, David John Harte yang juga penjaga gol terbaik dunia pada 2015 dan 2016, diramal berjaya mencuri tumpuan peminat hoki tanah air dengan memiliki susuk tubuh tinggi lampai serta ketangkasannya mempertahankan benteng terakhir UniKL, selain Kieran Ian Govers yang merupakan pemain kebangsaan Australia.

Meledak lima gol ketika penampilan pertama di Piala Tan Sri P Alagendra 2018, Ian Govers juga selaku pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pemegang pingat perak Sukan Olimpik London 2012.

Selain itu, Maybank tidak ketinggalan menampilkan enam pemain import yang mana empat daripada mereka kelahiran Australia, Hayward Leon Kayne, Oscar William Wookey, Joshua Bertherton dan Allan Oscar William selain seorang dari Argentina, Bertoni Federico dan seorang dari Pakistan, Muhammad Azfar Yaqoob.

Diharapkan kelibat 24 pemain import ini membantu menaikkan lagi mutu liga di Malaysia, selain menarik lebih ramai lagi penyokong untuk terus turun ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dalam tempoh sebulan liga berlangsung.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) perlu segera kembali ke landasan kemenangan apabila bakal turun menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini.
  • MASIH segar dengan kemenangan ke atas Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi final Piala P Alagendra tempoh hari, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) idam mengulangi kejayaan itu apabila kedua-dua pasukan sekali lagi bertembung dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Batu Burok, esok.
  • KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bakal membuat penampilan sulung di pentas akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas berjaya menundukkan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
  • JUARA Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menarik nafas lega setelah layak ke final Piala TNB dengan menundukkan pasukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Tun Razak, malam tadi, menerusi penentuan pukulan penalti.