• Mohamad Harith Farhan (kanan) semasa berjaya menaiki podium di Sepang Selangor-mendapat tempat ketiga. Mohamad Harith Farhan (kanan) semasa berjaya menaiki podium di Sepang Selangor-mendapat tempat ketiga.
  • Mohamad Harith Farhan, motosikal (kanan) cuba memberikan saingan. Mohamad Harith Farhan, motosikal (kanan) cuba memberikan saingan.
  • Mohamad Harith Farhan (kiri) bersama rakan-rakannya di Sepang, Selangor. Mohamad Harith Farhan (kiri) bersama rakan-rakannya di Sepang, Selangor.
1 /

Dunia sukan permotoran sememang menjadi suatu fenomena baru yang semakin digilai oleh golongan remaja. Apa yang pasti, lokasi perlumbaan akan penuh sesak dengan penonton di garisan tepi yang sanggup berpanas dan berhujan demi menyaksikan pelumba bertarung dalam sukan lasak dan memerlukan jiwa yang berani.

Negeri Sang Penyu yang selama ini hanya dikenali sebagai destinasi pelancong tersohor,  kini menyerlah reputasinya sebagai ‘kuasa baru’ dalam dunia sukan tanah air.

Bola sepak, hoki, lumba basikal dan kenu adalah antara jenama sukan yang memunculkan anak Terengganu sebagai jagoan di peringkat kebangsaan mahupun di pentas antarabangsa.


Realisasikan impian

Kini, tampil pula satu lagi sukan yang semakin meningkat maju di negeri tersebut, iaitu sukan permotoran. Ketiadaan litar tetap sebagai gelanggang untuk latihan tidak pernah menggersangkan semangat seorang anak muda yang berasal dari Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu untuk memberanikan dirinya bergiat secara aktif dalam sukan tersebut.

Mohamad Harith Farhan Baharin masih bersekolah di tingkatan dua di Sekolah Kluster Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, tetapi anak muda yang bersifat riang itu hampir merealisasikan impian besarnya untuk menjadi antara pelumba terhebat di negara ini.

Buktinya, dalam perlumbaan Cub Prix di Sepang, Selangor pada 2012 lalu, pelumba ini berjaya menginjak kakinya di atas podium apabila berjaya mendapat tempat ketiga.


Sukan permotoran

Ketika ditanya berkenaan penglibatan awalnya dalam sukan permotoran itu,  dia secara berterus terang memberitahu bahawa minatnya mulai tumbuh semenjak berusia tujuh tahun lagi.

"Hadir ke pertandingan Cub Prix semasa saya masih bersekolah rendah banyak menguja saya sekali gus timbul satu rasa ingin mencuba sukan yang dianggap penuh cabaran dan memerlukan semangat berani yang tinggi.

"Kedua-dua ibu bapa tidak pernah menghalang saya dan ini banyak merangsang diri saya untuk terus maju dalam sukan ini," katanya yang juga seorang pemain bola sepak bawah 15 tahun di sekolahnya.

Mohamad Harith Farhan berharap lebih ramai golongan remaja menceburi sukan permotoran ini kerana ia dapat membimbing kita secara saintifik dan menggunakan kenderaan secara sistematik.

"Lagipun, sukan permotoran seperti juga jenis sukan yang lain, sudah semakin berakar umbi secara kukuh dan masyarakat tidak lagi  berpersepsi negatif terhadap sukan lasak ini," ujar pelajar tingkatan 2 itu lagi.


Profil

Nama: Mohamad Harith Farhan Baharin

Umur: 14 tahun

Asal: Kg Bukit Besar, Kuala Terengganu

Sekolah: SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu

Hobi: Bermain bola bersama rakan sekampung

Cita-cita: Menjadi pelumba profesional dan mewakili Malaysia di kejohanan peringkat dunia

Penglibatan/Kejayaan:
- Menyertai Team Yamaha 135 Lc Super Series – 2012
- Menyertai Team Suzuki FortyOne Racing - 2013
- Menyertai pertandingan Cub Prix sepanjang 2012 di:
- Batu Kawan, Pulau Pinang
- Gong Badak, Kuala Terengganu
- Kangar, Perlis
- Banting, Selangor
- Muar, Johor
- Teluk Intan, Perak.
- Kluang, Johor Darul Takzim
- Melaka
- Sepang, Selangor

- Pencapaian tertinggi -
Mendapat tempat ketiga di Sepang, Selangor pada 2012.